TCHETCHE (kiri) pernah membantu TFC muncul naib juara Piala Malaysia 2018. FOTO HAZREEN MOHAMAD
TCHETCHE (kiri) pernah membantu TFC muncul naib juara Piala Malaysia 2018. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain kelahiran Ivory Coast, Kipre Tchetche kini berada dalam radar pasukan Terengganu FC (TFC) bagi memantapkan lagi jentera serangan skuad itu musim depan.

Bekas tonggak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu tidak asing lagi dalam pasukan TFC kerana pernah bersama skuad Penyu bermula musim 2017 hingga 2019 sebelum memilih skuad Lang Merah mulai 2020 hingga musim ini.

Pemain berusia 34 tahun itu juga pernah membantu TFC muncul naib juara Piala Malaysia 2018 bawah kendalian Irfan Bakti Abu Salim.

Menurut sumber TFC, pemain yang meledak 29 gol hasil daripada 51 perlawanan ketika bersama TFC kini sedang dalam proses perbincangan lebih lanjut berkaitan kontrak.

"Setakat ini perbincangan berjalan dengan lancar dan positif, jika tidak menghadapi masalah, bekas tonggak KDA FC itu akan kembali menyarung jersi skuad Penyu musim depan.

"Kehadiran pemain itu mampu memantapkan lagi jentera serangan pasukan dalam misi memburu kejuaraan selepas gagal melakukannya musim ini," kata sumber itu ketika dihubungi.

Terdahulu TFC sudah merantai penyerang kelahiran Liberia yang juga bekas tonggak KDA FC, Kpah Sherman selama setahun dan menyambung khidmat penyerang Terengganu FC II (TFC II), Jordan Mintah selama dua musim sehingga 2023.

Tchetche dijangka bakal bergandingan sama ada dengan Sherman ataupun Mintah di posisi berkenaan.

Semalam skuad bimbingan Nafuzi Zain mengikat bekas pemain pertahanan kelab Saigon FC dalam Liga utama Vietnam, Pape Diakite manakala pada Selasa, TFC mengikat bekas pemain Johor Darul Ta'zim II (JDT II ), Muhamad Adib Zainuddin selama dua musim.

Ketika di tanya mengenai bekas Arkitek TFC kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov, sumber itu mendedahkan pemain berkenaan tidak berada dalam radar pasukan setakat ini.

"Pemain itu tidak menjadi pilihan TFC sebagaimana yang diperkatakan sesetengah peminat, kita ada calon lain yang akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 11:20 AM