PEMAIN Terengganu FC  menjalani latihan di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak. FOTO TFC
PEMAIN Terengganu FC menjalani latihan di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu Football Club (TFC) mengesahkan barisan pemain Terengganu FC (TFC) sudah lengkap bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) yang dijangka bermula pertengahan bulan depan.

Ketua Pegawai Operasi TFC Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas menjelaskan senarai pemain tempatan dan import skuad utama itu sudah lengkap sepenuhnya dan kini hanya menanti saingan Liga Super membuka tirai.

"Semua pemain import dan tempatan skuad TFC sudah lengkap sepenuhnya dan kini hanya menanti saingan Liga M bermula. Musim ini tidak banyak pertukaran pemain tempatan dilakukan. Hanya seorang pemain baharu dibawa masuk iaitu Muhammad Adib Zainuddin yang sebelum ini beraksi bersama pasukan Liga Perdana, Johor Darul Ta'zim II (JDT II).

"Cuma import kita melakukan banyak perubahan dengan membawa masuk lima muka baharu dan mengekalkan tiga pemain sedia ada bagi menggalas cabaran pasukan TFC dan Terengganu FC II (TFC II)."

"Manakala selebihnya kita menggunakan khidmat pemain sedia ada dan membawa masuk empat pemain daripada TFC II bagi memantapkan lagi pasukan. Kita meletakkan harapan tinggi dengan barisan pemain yang ada ini mereka mampu menjadi pencabar utama dalam setiap saingan selain membawa kejayaan buat pasukan," katanya ketika dihubungi.

Selain bekas kapten skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) kelahiran Mersing, Johor itu, TFC Sdn Bhd membawa masuk lima pemain import termasuk bekas penyerangnya, Kipre Tchetche dan rakan sepasukan pemain kelahiran Ivory Coast itu ketika beraksi bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kpah Sherman.

Turut dibawa masuk dalam skuad kendalian Nafuzi Zain dan pembantunya, Hairuddin Omar serta Tengku Hazman Tengku Hassan itu pemain kelahiran Senegal, Pape Diakite dan dua pemain kebangsaan Filipina, Luke Woodland serta Manuel Ott manakala tiga pemain sedia ada dikekalkan iaitu Jordan Mintah (Ghana) Habib Haroon (Bahrain) dan pemain kelahiran Montenegro, Argzim Redzovic.

Pemain tempatan daripada TFC II yang 'dinaikkan pangkat' ialah penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin, Syafik Ismail, Muhammad Zuasyraf Zulkiefle dan Muhammad Hairiey Hakim Mamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 4:41 PM