MARANON (kiri) beraksi ketika menentang Singapura 8 Disember lalu. FOTO Instagram bienvecadiz
MARANON (kiri) beraksi ketika menentang Singapura 8 Disember lalu. FOTO Instagram bienvecadiz
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Dalam kalangan pemain bertaraf naturalisasi pada kejohanan bola sepak Piala AFF di Singapura, pemain sayap Filipina, Bienve Maranon adalah pemain terbaharu yang tergolong dalam kelompok itu.

Maranon, yang dilahirkan di El Puerto de Santa Maria di wilayah Cadiz, Sepanyol, mendapat taraf kerakyatan Filipina tahun ini dan akhirnya tampil buat kali pertama bersama skuad bergelar The Azkals menentang tuan rumah Singapura pada 8 Disember lalu pada usia 35 tahun enam bulan dan 23 hari.

Sekalipun aksi sulungnya berakhir dengan kekalahan 1-2, Filipina bangkit membelasah Timor Leste pada aksi kedua 7-0 dan Maranon menyumbang gol keenam pasukannya sekali gus gol pertama antarabangsa buatnya.

"Penuh emosi dan satu detik istimewa," tulis Maranon dalam laman Twitter. "Ketika kecil, saya hanya memikirkan untuk berseronok dan bergembira dengan bermain bola sepak, kemudian sukan ini menjadi kerjaya saya dan saya masih berseronok seperti hari pertama.

"Saya meraih ganjaran terbesar apabila membuat kemunculan sulung bersama @theazkalsph, tempat yang saya rasakan seperti di negara sendiri, yang mana saya menemui kebahagiaan, kegembiraan dan kestabilan. Satu perasaan terbaik yang tidak pernah saya alami selama ini," tulisnya.

Maranon, yang berasal dari etnik Basque, beraksi dengan lapan kelab Sepanyol sepanjang karier namun akhirnya beraksi dengan United City pada 2015 yang mana dia meraih kejayaan antarabangsa apabila muncul penjaring gol terbanyak Piala AFC sepanjang zaman dengan 35 gol.

Sekalipun tidak mempunyai pertalian darah dengan Filipina, Maranon berkongsi cerita lama dengan negara itu apabila datuknya dari etnik Basque melarikan diri ke wilayah barat Visayas di Filipina ketika pemerintahan diktator Sepanyol, Francisco Franco.

Proses naturalisasi Maranon bermula pada Mac 2020 apabila Senator Migz Zubiri memfail rang undang-undang Senat 1391 sebelum Presiden Rodrigo Duterte mengesahkannya pada Julai 2021 di bawah akta negara republik itu.

"Saya akan terus bekerja keras dan mempertahankan bendera ini sekali gus membanggakan semua rakyat Filipina yang menyokong saya selama ini," tulis Maranon.

Ceritanya ketika kecil agak menyedihkan kerana dia hanya mampu bermain di jalanan bersama rakan memandangkan ibu bapanya miskin dan tidak mampu menghantarnya menyertai mana-mana akademi bola sepak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 6:39 PM