Richarlison ledak hatrik berdepan Jerman. FOTO Agensi
Richarlison ledak hatrik berdepan Jerman. FOTO Agensi
Agensi

Tokyo: Penyerang Everton, Richarlison meledak hatrik pada babak pertama ketika skuad bola sepak Brazil memulakan kempen Olimpik dengan kemenangan 4-2 ke atas Jerman.

Dalam aksi ulangan merebut pingat emas Olimpik 2016 itu, penyandang juara kejohanan menguasai perlawanan dan hampir mendahului menerusi Matheus Cunha sebelum penalti dinafikan penjaga gol lawan.

Richarlison berjaya meledak gol pada minit ketujuh, sebelum menanduk masuk jaring kedua dan merakam hatrik dalam tempoh 30 minit permainan.

Jerman bangkit selepas rehat permainan menerusi gol dari Nadiem Amiri dan Ragnar Ache menjadikan kedudukan 3-2 sebelum penyerang Bayer Leverkusen, Paulinho meledak gol menarik pada minit akhir perlawanan mengatasi Jerman 4-2.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan D, pemain tengah AC Milan, Franck Kessie menjaringkan gol kemenangan Ivory Coast ke atas Arab Saudi, 2-1.

Bagaimanapun, Pemain Muda Terbaik kejohanan Euro 2020, Pedri gagal mencetus inspirasi kepada skuad Sepanyol berdepan Mesir dalam perlawanan pembukaan mereka selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Sekalipun menguasai perlawanan skuad Sepanyol dihampakan dengan penyudahan kurang kemas.

Lebih memburukkan keadaan lagi, Sepanyol mungkin kehilangan tonggak utama dan pemain Real Madrid, Dani Ceballos yang mengalami kecederaan pergelangan kaki pada perlawanan itu.

Bekas pertahanan West Brom, Ahmed Hegazi memainkan peranan penting menyekat kemaraan Sepanyol.

Selain Pedri beberapa pemain yang menganggotai skuad Sepanyol di Euro 2020 antaranya Mikel Oyarzabal, Dani Olmo, Pau Torres dan Eric Garcia turut berada dalam senarai kesebelasan utama.

Sementara itu, Mexico mengejutkan Perancis, 4-1 dan New Zealand mencipta sejarah dengan kemenangan pertama dalam acara bola sepak Olimpik mengatasi Korea Selatan, 1-0.

Romania menyertai New Zealand di kedudukan teratas Kumpulan B selepas Elvin Oliva memastikan kemenangan 1-0 ke atas Honduras.

Manakala tuan rumah, Jepun bermula langkah kanan apabila mengatasi Afrika Selatan, 1-0.

Malang buat Argentina yang memulakan kempen Kumpulan C apabila tewas kepada Australia, 0-2.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 7:48 AM