POCHETTINO (kiri) kekal bersama PSG. FOTO EPA
POCHETTINO (kiri) kekal bersama PSG. FOTO EPA
AFP

Paris: Mauricio Pochettino tidak pernah meminta untuk meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) di sebalik spekulasi mengaitkannya dengan Manchester United, kata pengarah sukan kelab itu, Leonardo, hari ini.

Beliau juga menafikan laporan PSG mengadakan perbincangan bersama bekas jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane apabila menyatakan tidak pernah menghubungi pengendali dari Perancis itu.

Media British awal minggu ini mendakwa bekas pengurus Tottenham, Pochettino mungkin akan dipujuk untuk meninggalkan PSG dan menyertai Man United.

Bagaimanapun pengendali dari Jerman, Ralf Rangnick akan mengambil alih tugas di Old Trafford sehingga hujung musim ini.

"Saya rasa adalah amat penting untuk menjelaskan situasi sebenar selepas banyak maklumat yang salah. Kontrak Mauricio Pochettino bersama kelab ini sehingga 2023," kata Leonardo kepada AFP.

"Kami tidak mahu Pochettino meninggalkan pasukan. Dia juga tidak pernah meminta untuk pergi dan tiada mana-mana kelab menghubungi kami berkaitan dengan dirinya."

Terdapat laporan menyatakan Pochettino tidak gembira bersama kelab itu dan dia sudah pun dikaitkan akan kembali ke Spurs awal tahun ini.

Bagaimanapun pengendali dari Argentina itu awal minggu ini menyatakan dia sangat gembira berada di PSG dan tidak pernah terlintas untuk berhenti sebelum kontraknya tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 8:50 PM