REAKSI Ronaldo selepas tewas kepada Serbia.
REAKSI Ronaldo selepas tewas kepada Serbia.
Agensi

London: Cristiano Ronaldo meninggalkan pesanan emosi kepada Portugal selepas tewas kepada Serbia dalam aksi kelayakan Piala Dunia semalam.

Legenda Manchester United itu amat kecewa dan mengalirkan air mata selepas jaringan minit akhir Aleksandar Mitrovic menyebabkan Portugal terpaksa beraksi di peringkat playoff.

Kekalahan 1-2 itu turut menyukarkan impian Ronaldo untuk muncul hanya pemain keempat beraksi di lima pusingan akhir Piala Dunia.

Tetapi sebelum pulang ke Manchester menjelang aksi Liga Perdana menentang Watford pada Sabtu ini, dia sempat mencoretkan sesuatu buat tanah airnya.

Bersama foto teman wanitanya yang mengandung, Georgina Rodriguez, Ronaldo menulis di Instagram: "Tidak kira berapa jauh kami 'terbang' di dunia ini, Portugal sentiasa membuatkan saya dan keluarga seperti berada di rumah sendiri.

"Cuaca yang fantastik, makanan sedap, kebaikan masyarakat Portugal, ia sentiasa menarik minat untuk kembali ke negara saya.

"Sekarang masa untuk ke Manchester dan fokus sepenuhnya sasaran tetapi kami akan kembali. Jumpa lagi Portugal!"

Kini bintang berusia 36 tahun itu menunggu penuh debaran aksi playoff pada Mac depan selain menjadi inspirasi kebangkitan Red Devils yang tewas enam kali dalam 12 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 10:37 AM