WU Lei terjatuh selepas dikasari pemain Australia, Mathew Leckie.
WU Lei terjatuh selepas dikasari pemain Australia, Mathew Leckie.
AFP

Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE): China berdepan misi lebih sukar dalam kempen kelayakan Piala Dunia walaupun seri 1-1 dengan Australia awal pagi tadi.

Jaringan minit ke-38 oleh Mitchell Duke hampir mencetuskan kekalahan keempat China daripada enam perlawanan Kumpulan B, tetapi penalti lewat Wu Lei memberikan mereka satu mata di Stadium Sharjah.

Tetapi mereka hanya di atas Vietnam dengan lima mata dan kini berdepan misi tampak mustahil untuk melonjakkan kedudukan dalam kumpulan yang turut mengandungi gergasi Asia Arab Saudi dan Jepun.

Hanya dua pasukan teratas daripada dua kumpulan layak automatik ke Piala Dunia 2022 di Qatar dengan kemungkinan tiket kelima menerusi playoff membabitkan pasukan di tangga ketiga.

China hanya sekali mara ke Piala Dunia pada 2002 namun tersingkir selepas tewas kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Dalam perlawanan awal, Arab Saudi menewaskan Vietnam 1-0 di Hanoi untuk kemenangan kelima dalam enam perlawanan sekali gus lima mata di depan Australia dan semakin hampir mara ke Qatar tahun depan.

Korea Selatan pula menewaskan Iraq 3-0 dan UAE mengatasi Lubnan 1-0 dalam aksi Kumpulan A.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 9:18 AM