PEMAIN Terengganu FC  meraikan jaringan ketika menentang Selangor FC  di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
PEMAIN Terengganu FC meraikan jaringan ketika menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Percaturan Terengganu FC (TFC) menjadi apabila meraih kemenangan kedua dengan menumpaskan Selangor FC 3-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam ini.

TFC yang hanya menurunkan empat tonggak import termasuk dua pemain Terengganu FC II (TFC II), Jordan Mintah dan Dechi Marcel bermula garang dengan percubaan pertama pada minit pertama menerusi Faiz Nasir namun sedikit tersasar.

Skuad Penyu terus menekan The Red Giants apabila memperolehi sepakan percuma pada minit kelapan tapi tendangan pemain kelahiran Mali, Makan Konate berjaya ditepis penjaga gol, Khairul Azhan Mohd Khalid sekali gus memberi kelegaan buat pelawat.

Selepas kerap diasak, pelawat menukar rentak permainan sebelum memperolehi peluang terbaik pada minit ke-12 menerusi tandukan Shahrel Fikri namun penjaga gol muda TFC, Rahadiazli Rahalim lebih pantas menyelamatkan bola.

Selang dua minit kemudian, Shahrel sekali lagi hampir meletakkan bola ke dalam gawang menerusi rembatan dari luar kotak penalti tapi palang gol menjadi penyelamat ketika penjaga gol sudah tertewas.

Babak pertama menyaksikan tuan rumah berjaya menggegarkan gawang pelawat pada minit ke-35 menerusi tandukan mudah Mintah untuk mendahului separuh masa dengan kelebihan 1-0.

Bersambung babak kedua bekas pemain Pahang, Faisal Abdul Halim hampir menambah jaringan pada minit ke-49 tapi sekali lagi penjaga gol bertindak cemerlang menafikan percubaan pemain itu sebelum dibawa keluar.

Tidak sampai seminit dimasukkan, pemain sayap Rahmat Makasuf menceriakan kem skuad Penyu apabila menghasikan jaringan kedua hasil rembatan kencang dalam kotak penalti pada minit ke-61 sekali gus mengukuhkan kedudukan 2-0.

Pelawat tidak berputus asa memburu jaringan dan akhirnya memperoleh gol menerusi jaringan sendiri pertahanan, Shahrul Nizam Ros Hasni yang tertampan masuk hantaran Ahmad Danial Ahmad Asri pada minit ke-74.

Pada masa kecederaan, pemain pertahanan, Mohamad Hakimi Abdullah menambah derita pelawat apabila meledak gol ketiga menjadikan kedudukan 3-1 milik TFC.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 11:27 PM