PEMAIN Terengganu FC II, Jordan Mintah (tengah) diasak pemain Kelantan United, Yuki Tanigawa (kiri). FOTO Ghazali Kori
PEMAIN Terengganu FC II, Jordan Mintah (tengah) diasak pemain Kelantan United, Yuki Tanigawa (kiri). FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Status pasukan 'feeder club' tidak menghalang skuad Terengganu FC II (TFC II) mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) selepas berjaya menamatkan aksi Liga Perdana di tempat ketiga musim ini.

Lebih manis skuad itu juga berbangga apabila penyerang utamanya, Jordan Mintah meraih gelaran kasut emas bersama penyerang Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Fernando Rodriguez dengan masing-masing menyumbat 16 gol.

Jurulatih skuad The Turtles, Badrul Afzan Razali berkata, kejayaan yang tidak diduga itu adalah hasil usaha keras barisan kejurulatihan, pihak pengurusan serta pemain dan ditambah sokongan padu daripada peminat setia skuad itu.

Jurulatih kelahiran Kemaman itu berkata, secara keseluruhan sepanjang musim ini, beliau bersama barisan kejurulatihan berpuas hati dengan komitmen para pemainnya yang berjaya menamatkan saingan liga di kedudukan ketiga.

"Alhamdulillah sasaran kami untuk sekurang-kurangnya berada di kelompok tiga teratas Liga Perdana musim ini tercapai walaupun musim pertama saya, kejayaan itu adalah hasil usaha pemain yang sentiasa positif dengan memperagakan aksi terbaik walaupun berdepan beberapa cabaran dan rintangan.

"Kejayaan itu juga memberi petanda skuad yang dibarisi pemain muda kian meningkat, ini sesuatu yang begitu positif buat pasukan negeri dan kebangsaan," katanya selepas berakhir perlawanan menentang Kelantan United FC (KUFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.

Dalam perlawanan terakhir itu, skuad The Turtles tewas mengejut 0-1 hasil jaringan Mohamad Hakim Ismail pada minit ke-19 sekali gus meranapkan impian skuad itu untuk mengintai kedudukan kedua liga.

"Keghairahan pemain untuk memburu jaringan terutama dengan deretan peluang dimiliki mungkin antara sebab jaringan yang dicari tidak berhasil.

"Tapi aksi terbaik yang dipamerkan mereka dalam perlawanan malam ini (malam tadi) dan keseluruhan aksi musim ini harus dipuji," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 5:07 PM