AHMAD Faizal dilantik selaku Menteri Belia dan Sukan. FOTO Saifullizan Tamadi
AHMAD Faizal dilantik selaku Menteri Belia dan Sukan. FOTO Saifullizan Tamadi
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atas pelantikannya selaku Menteri Belia dan Sukan yang baharu.

Menerusi laman Facebook FAM hari ini, badan induk itu berharap kehadiran bekas Menteri Besar Perak itu akan mampu meningkatkan mutu sukan termasuk bola sepak di negara ini.

"Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif serta kakitangan FAM mengucapkan sekalung tahniah kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atas pelantikan beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu.

"Semoga kehadiran Datuk Seri dalam keluarga sukan negara akan sama-sama dapat membantu untuk memperkasa dan meningkatkan lagi tahap industri sukan di Malaysia termasuk membantu FAM dalam memartabatkan bola sepak negara," kata kenyataan itu.

Untuk rekod, Faizal antara tokoh yang cukup mencintai arena sukan tanahair terutamanya bola sepak.

Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan selaku Presiden Persatuan Bolasepak Perak dari 2018 hingga 2021.

Sepanjang tempoh berkenaan, beliau berjaya menghadiahkan trofi Piala Malaysia pada 2018 serta membawa skuad The Bos Gaurus itu beraksi di pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 5:37 PM