STUART bercakap pada sesi taklimat FAM bersama media bagi menjelaskan topik semasa antaranya berhubung proses pemisahan dari FA ke FC, pelesenan kelab dan lain-lain di Wisma FAM, semalam. FOTO Mohd Yusni Ariffin
STUART bercakap pada sesi taklimat FAM bersama media bagi menjelaskan topik semasa antaranya berhubung proses pemisahan dari FA ke FC, pelesenan kelab dan lain-lain di Wisma FAM, semalam. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Firdaus Hashim


KEGAGALAN pasukan menyelesaikan isu penswastaan sebelum berakhirnya tarikh akhir 30 September ini akan memberi kesan kepada jumlah pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Jelas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, bilangan pasukan dalam kempen Liga Super dan Liga Perdana mungkin berkurangan.

Katanya, pasukan yang gagal menyelesaikan isu penswastaan dengan melakukan pemisahan FA ke FC bakal disingkirkan ke liga amatur sekali gus menyebabkan bilangan 12 pasukan dalam liga utama akan berkurangan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan akhir akan diputuskan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku badan pengelola liga tempatan.

"Mungkin kosong takkan ada pasukan. Tetapi ia bergantung kepada MFL.

"Jika mereka nak cukupkan juga 12 pasukan, mungkin akan ada pasukan dinaikkan ke atas. Itu terpulang kepada MFL," katanya.

Semalam, menerusi laporan Arena Metro, tiga pasukan Liga-M iaitu dua dari Liga Super dan satu dari Liga Perdana berisiko untuk disingkirkan selepas tiga pasukan terbabit langsung tidak menunjukkan sebarang inisiatif untuk menswastakan pasukan masing-masing.

Pada 1 Ogos lalu, FAM memberi peringatan kepada lapan pasukan iaitu PDRM, Kuala Lumpur, Kedah, Perak, Sabah, Pahang, UiTM FC dan UKM FC yang masih belum memulakan proses penswastaan.

Hasil daripada pendedahan itu, kini lima pasukan sudah mula bergerak manakala tiga lagi masih belum memulakannya dan berisiko 'diturunkan pangkat' ke liga amatur musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 6:13 PM