AKSI pemain Negeri Sembilan ketika menentang Selangor 2 di Paroi minggu lalu yang berkesudahan seri 0-0. FOTO Ihsan NSFC
AKSI pemain Negeri Sembilan ketika menentang Selangor 2 di Paroi minggu lalu yang berkesudahan seri 0-0. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad Kelab Bolasepak Negeri Sembilan (NSFC) menjanjikan kebangkitan dalam misi meraih kemenangan apabila turun menentang skuad Perak II, pada saingan Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Keyakinan itu disuarakan pemain pertahanan, Annas Rahmat, yang yakin dengan rakan sepasukan untuk turun habis-habisan bagi mendapatkan tiga mata, selepas dua perlawanan sebelum ini tidak menyebelahi mereka.

"Kegagalan meraih kemenangan dalam dua perlawanan sebelum ini ketika seri dengan Selangor II di Paroi dan kecundang kepada Terengganu II di gelanggang lawan, ternyata merugikan dalam usaha pasukan menjarakkan mata dengan pencabar lain.

"Justeru itu, kami perlu mempamerkan persembahan lebih mantap dan berjuang habis-habisan pada pertembungan dengan Perak II, esok, dengan memastikan tiga mata berada dalam genggaman pasukan.

"Setiap pemain mempunyai tugas berat, namun saya yakin, mereka sedar akan tanggungjawab masing-masing dan akan memberikan persembahan terbaik bagi merealisasikan kemenangan ke atas Perak II," katanya di sini, hari ini.

Bekas pemain Melaka United FC (MUFC) itu berkata, walaupun Perak II berada dalam kelompok dua pasukan terbawah carta, pemain NSFC tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka.

Tonggak berpengalaman itu berkata, skuad lawan itu diketahui memiliki ramai pemain muda yang boleh menyekat hasrat pasukan untuk mendapatkan kemenangan, andai tidak berhati-hati dan melakukan kesilapan.

"Oleh itu, saya mengingatkan rakan sepasukan agar tidak memandang rendah keupayaan pemain lawan tatkala kemenangan begitu penting buat Negeri Sembilan untuk mencabar kedudukan puncak carta dengan Sarawak.

"Pasukan perlu memanfaatkan sebaik mungkin peluang beraksi di laman sendiri bagi mendapatkan tiga mata dengan menewaskan Perak II.

"Tambahan pula, tiga perlawanan yang bakal dihadapi pasukan selepas ini adalah di gelanggang lawan," katanya yang berjanji untuk memberikan persembahan bertenaga dalam membantu mempertahankan bahagian benteng skuad Hobin Jang Hobin dari dibolosi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 7:35 PM