RONALDO (kanan) dan Messi sering menjadi perhatian. FOTO Agensi
RONALDO (kanan) dan Messi sering menjadi perhatian. FOTO Agensi
Agensi

Paris: Gabungan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo adalah sesuatu yang menjadi impian setiap orang dan Paris Saint-Germain (PSG) dilaporkan bersedia menjadikan impian itu menjadi kenyataan.

PSG sudah melengkapkan perpindahan Messi minggu ini selepas keputusan mengejut dia meninggalkan Barcelona.

Ini bermakna, bintang Argentina itu akan menyertai trio berbahaya bersama-sama Neymar dan Kylian Mbappe di jentera serangan.

Diario AS melaporkan Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi berminat untuk mendapatkan Ronaldo dari Juventus jika Mbappe mengambil keputusan mahu meninggalkan kelab itu dan menyertai Real Madrid.

Nasser dikatakan tidak mahu menjual Mbappe pada musim panas ini walaupun percaya penyerang Perancis itu tidak akan menandatangani kontrak baharu untuk kekal di Parc des Princes pada musim ini.

Melepaskan Mbappe secara percuma pastinya satu tamparan untuk PSG, namun Ronaldo juga tidak akan mendapat apa-apa pada musim panas seterusnya jika dia tidak menandatangani kontrak baharu di Juventus.

Ejen Ronaldo, Jorge Mendes dikatakan sedang memerhatikan segala perkembangan terbaharu ketika ini.

Jika Ronaldo menyertai PSG pada musim panas seterusnya dan menandatangani kontrak selama dua tahun, ia akan menyaksikannya bersama kelab itu sehingga usia 39 tahun di mana dia dilaporkan pernah berkata akan mencuba nasib pula di Amerika Syarikat atau Qatar selepas itu.

Messi dan Ronaldo mendominasi bola sepak dunia sejak sedekad lalu sebagai dua pemain terbaik di dunia.

Sementara itu, Mbappe dilihat tidak berminat untuk menandatangani kontrak baharu bersama PSG dan dijangka akan menyertai Real Madrid sebagai ejen bebas pada musim panas seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 10:12 AM