DEMBELE ikat kontrak lima tahun bersama PSG. -FOTO AFP
DEMBELE ikat kontrak lima tahun bersama PSG. -FOTO AFP
AFP

Paris: Bintang Perancis, Kylian Mbappe diketepikan daripada aksi pembukaan musim Paris Saint-Germain hari ini mengukuhkan lagi perselisihan antara kapten Perancis dan juara Ligue 1 itu.

Ketika pertikaian kontrak Mbappe dengan kelab yang disokong Qatar itu semakin hangat, PSG mengumumkan pembelian baharu - Ousmane Dembele dengan kontrak perjanjian lima tahun dari Barcelona.

Dia adalah pembelian kesembilan musim ini selepas PSG kehilangan Lionel Messi kepada Inter Miami dan mungkin tidak lama lagi Mbappe akan turut pergi.

Mbappe enggan menandatangani kontrak lanjutan bersama PSG, bermakna dia boleh pergi secara percuma tahun depan dengan Real Madrid sudah lama dilihat sebagai destinasi pilihannya.

PSG mahu menjualnya sekarang dengan bayaran perpindahan yang besar untuk pemain yang bernilai €180 juta (RM904.62 juta) ketika dibeli dari Monaco pada 2017.

"Kedudukan itu sangat jelas. Jika Kylian mahu kekal, dia mesti menandatangani kontrak baru. Kami tidak boleh membiarkan pemain terbaik di dunia hari ini pergi secara percuma. Ia mustahil," kata presiden PSG, Nasser al-Khelaifi bulan lalu.

Mbappe tidak dibenarkan berlatih bersama pasukan utama dan bermain hanya satu daripada lima perlawanan pemanas badan PSG dan tidak dijemput ke jelajah pramusim di Jepun dan Korea Selatan.

Walaupun diketepikan, Mbappe adalah antara pemain pertama mengalu-alukan Dembele ke Parc des Princes.

"Selamat pulang saudara saya, sangat gembira melihat anda di sini, pengembaraan bermula," Mbappe menyiarkan di media sosial untuk menyambut Dembele yang bersamanya memenangi Piala Dunia pada 2018.

Dembele yang berusia 26 tahun menyertai Barcelona pada 2017 dari Borussia Dortmund dan menyambung kontraknya tahun lalu sehingga 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 8:08 PM