Pemain  Kelantan FC,  Natenal Siringo  Ringgo (dua kanan) diasak pemain PDRM FC, Mohammad Hidhir Idris dalam aksi Liga Perdana di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Pemain Kelantan FC, Natenal Siringo Ringgo (dua kanan) diasak pemain PDRM FC, Mohammad Hidhir Idris dalam aksi Liga Perdana di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC menghampakan hasrat tuan rumah, Kelantan FC untuk memperoleh tiga mata selepas mencatat kemenangan 2-1 dalam saingan Liga Perdana, petang tadi.

PDRM mendahului tuan rumah menerusi sepakan penalti disempurnakan Lazarus Kaimbi pada minit ke 25 berpunca daripada kekasaran dilakukan Che Mohamad Safwan Hazman Che Hassan ke atas pemain PDRM, Alvaro Cuello.

Tersentak dengan jaringan itu, TRW terus garang menyerang pelawat dalam aksi di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu.

Skuad kijang melakukan dua pertukaran dengan memasukkan Nurshamil Abd Ghani dan Wan Mohammad Zuhairil Wan Husin menggantikan Mohammad Shafiq Heelmi Zainol Fikri dan Che Mohamad Safwan Hazman Che Hassan untuk mengasak kubu pertahanan pelawat.

Kelantan berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma kapten pasukan, Mario Arques Blasco pada minit ke-49 sekali gus berjaya menewaskan penjaga gol Sang Saka Biru, Muhd Asri Mohamad.

Kelantan cuba bangkit mencari gol kedua namun gagal menghasilkan gol selepas rembatan Nataneal Ringo yang sekadar terkena tiang gol.

Pelawat berjaya memperoleh gol kedua menerusi pemain import kacukan Brazil-Jepun, Bruno Suzuki pada minit ke- 83 sekali gus membolehkan PDRM pulang dengan tiga mata penting.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 11:19 PM