PEMAIN Kelantan FC, Ismaheel Akinade (kiri) diasak oleh Pemain Penang FC, Sae Hee An (kanan). FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PEMAIN Kelantan FC, Ismaheel Akinade (kiri) diasak oleh Pemain Penang FC, Sae Hee An (kanan). FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Kelantan FC akhirnya berjaya mengutip tiga mata pertama selepas menewaskan Penang FC 2-0 dalam aksi Liga Super 2023, malam ini.

Terdahulu, tuan rumah bermula garang dengan pemain, Mohamad Fazrul Amir Md Zaman melepaskan sepakan separa voli seawal dua minit perlawanan yang ditampan penjaga gol Penang FC, Shafiq Afifi Suhaimi.

Minit ke 12, sepakan lemah Mohamad Ikhwan Yazek mudah dibaca Afifi yang mendakap kemas bola.

Penang cuba mengasak kubu anak buah Choi Moonsik namun tendangan Mohamad Farish Shah Mohd Rosli melambung tinggi melepasi gol Kelantan.

Minit ke 21, import Nigeria, Ismahael Akinadeee akhirnya menghadirkan gol pertama yang ditunggu-tunggu penyokong The Red Warriors.

Tiga minit berselang, pertahanan  Kelantan, Muhammad Ghaaffar Abdul Rahman hampir menambah derita pelawat, namun hantaran lintang sebelah kiri gawang Penang, tersasar.

 

Ghaffar membalas kekecewaan dengan hantaran cantik ke arah Fazrul Amir yang kemas menyempurnakan gol kedua buat Kelantan minit 36.

Kelantan mendahului 2-0 hingga tamat wisel separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, pelawat mengeluarkan tiga pemain Sae Hee An, Muhammad Nur Izzat Che Awang dan Mohammad Amer Azahar dan memasukkan Hassan Saad, Mohammad Rahmat Makasuf dan Muhammad Hadin Azman.

Minit ke 48, Miguel Angel Garrido Cifuentes gagal menjaringkan gol buat Kelantan.

Penyerang Lubnan, Hassan Saad atau Sonny mencipta sedikit drama apabila, dia yang baru dimasukkan di separuh masa kedua, dikeluarkan selepas menerima kad merah hasil mengasari pemain tuan rumah.

Pelawat cuba menguji gawang tuan rumah dengan beberapa percubaan bahaya namun buntu menjaringkan gol menjadikan keputusan 2-0 kekal hingga wisel penamat.

Keputusan akhirnya menceriakan kem tuan rumah dengan Kelantan mengutip tiga mata pertama liga super di hadapan 6,011 penyokong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 11:40 PM