MANCINI akan menguji skuadnya buat kali terakhir dengan menentang Czech Sabtu ini. FOTO AFP
MANCINI akan menguji skuadnya buat kali terakhir dengan menentang Czech Sabtu ini. FOTO AFP
AFP

Rome: Jurulatih Itali, Roberto Mancini mengumumkan skuad 28 pemain untuk saingan Euro 2020 tatkala beliau sedang mempersiapkan pasukan bagi berdepan aksi pemanas badan terakhir menentang Republik Czech.

Penyerang Paris Saint Germain (PSG), Moise Kean adalah nama besar yang digugurkan oleh Mancini dengan mengekalkan rakan sepasukan di PSG, Marco Verratti dan pemain tengah Inter Milan, Stefano Sensi walaupun kedua-dua pemain itu mengalami kecederaan.

Ia bukanlah skuad muktamad kerana bakal dikurangkan lagi kepada 26 pemain pada awal pagi Rabu dan selepas itu mereka akan mempersiapkan diri berdepan Czech pada 5 Jun.

Berbanding sebelum ini skuad Mancini dibarisi 33 pemain sebelum mereka menumpaskan San Marino 7-0 dan daripada senarai berkenaan turut diketepikan ialah penjaga gol Cagliari, Alessio Cragno, pertahanan Lazio, Manuel Lazzari, Vincenzo Grifo, Cristiano Biraghi dan Gian Marco Ferrari.

Turut disenaraikan ialah pertahanan veteran Juventus, Giorgio Chiellini dan Leonardo Bonucci begitu juga dengan Jorginho dan Emerson Palmieri yang membantu Chelsea muncul juara Liga Juara-Juara.

Matteo Politano, Matteo Pessina dan pertahanan, Atalanta Rafael Toloi juga tersenarai selepas memberikan aksi terbaik ketika menentang San Marino.

Pasukan Azzurri diberi nafas baru di bawah Mancini selepas kegagalan mengejutkan gagal layak ke Piala Dunia 2018 dan tidak pernah kalah dalam 26 perlawanan.

Itali diundi dalam Kumpulan A di Euro dan akan berdepan Turki pada aksi pembukaan 11 Jun di Rom.

Mereka juga akan menentang Switzerland pada 16 Jun dan Wales 20 Jun, juga di ibu negara Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 11:16 AM