PEMAIN tengah Itali, Marco Verratti (kiri) berebut bola dengan pemain Sepanyol, Koke di separuh akhir Euro 2020, kelmarin. FOTO EPA
PEMAIN tengah Itali, Marco Verratti (kiri) berebut bola dengan pemain Sepanyol, Koke di separuh akhir Euro 2020, kelmarin. FOTO EPA
AFP

Rome: Pemain tengah Itali, Marco Verratti percaya final Euro 2020 menentang England, Ahad ini, akan menjadi kenangan terindah pada ketika Azzurri memburu kemenangan pertama kejohanan itu sejak 1968.

Selepas gagal layak ke Piala Dunia 2018, Roberto Mancini mengetepikan jangkaan dan memacu Itali mencipta rekod kebangsaan 33 perlawanan tanpa kalah dan hampir menggapai Kejuaraan Eropah kali kedua.

"Kami mahu menang. Kami akan berdepan pasukan kuat yang juga terdesak untuk menang. Impian kami memang mahu memenangi Kejuaraan Eropah kali ini," kata Verratti menerusi sidang media secara maya, hari ini.

"Semangat kini cukup membara di Itali. Saya fikir kami sedang mendaki semula ke tempat di mana sepatutnya kami berada."

Itali akan muncul kali ke-10 di final kejohanan utama dan yang pertama sejak tewas 4-0 kepada Sepanyol di Euro 2012.

"Persediaan untuk final ini memang mudah kerana anda tahu semua orang akan memberikan yang terbaik, sama ada diturunkan dalam kesebelasan utama atau pemain gantian," kata Verratti.

"Anda tahu, saat seperti ini mungkin sukar datang lagi. Saya harap ia tidak begitu. Perlawanan ini mesti dimenangi dan kami bersemangat untuk menang."

Itali tidak pernah kalah kepada England di kejohanan utama, termasuk menang 2-1 di peringkat kumpulan di Piala Dunia 2014.

"Saya fikir England melaksanakan tugas dengan baik. Mereka mara ke final kali pertama dan itu membuktikan segalanya," kata Verratti.

"Mereka hanya bolos sekali, mereka pasukan bagus dan seimbang. Saya gembira dapat menentang mereka di stadium hebat dan final luar biasa.

"Ia adalah impian sejak kecil sebagai pemain bola sepak. Saya fikir ia akan menjadi pertarungan final epik dan sejarah akan tercipta buat kedua-dua pasukan."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 12:14 AM