ALBAERT, maskot untuk Euro 2024. FOTO AFP
ALBAERT, maskot untuk Euro 2024. FOTO AFP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bahang saingan Piala Eropah 2024 atau Euro 2024 semakin terasa dengan Jerman bakal menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak paling dinantikan itu yang dijadual berlangsung dari 14 Jun hingga 14 Julai depan.

Bagi menyemarakkan lagi bahang aksi berkelas dunia itu di Malaysia, beberapa syarikat gergasi negara difahamkan cukup berminat dan bersedia untuk menaja sepenuhnya siaran langsung Euro 2024 itu bagi memastikan rakyat Malaysia menontonnya secara percuma.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, satu surat tunjuk minat akan dikeluarkan dalam masa terdekat untuk diserahkan kepada pihak Kementerian Komunikasi serta pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengenai hasrat itu.

"Syarikat swasta telah menunjukkan minat yang ingin mengambil tajaan untuk Euro 2024, supaya RTM boleh beri kepada rakyat Malaysia menonton secara percuma daripada berbayar.

"Beberapa syarikat swasta telah mula menunjukkan minat dan dalam masa terdekat ini, akan mengeluarkan surat tunjuk minat kepada pihak RTM untuk menaja dan beli siaran ini yang sudah tentunya bukan murah.

"Ia sebenarnya dapat menjimatkan perbelanjaan pihak kerajaan kerana selepas ini difahamkan Sukan Olimpik juga menelan kos yang tinggi bagi mendapatkan hak siaran langsung.

"Jika semuanya berjalan lancar, rakyat Malaysia yang dalam kelompok B-40 boleh menikmati siaran percuma Euro di RTM sekali gus menyemarakkan bahang Euro kali ini," kata sumber.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bersedia mempertimbangkan untuk mendapatkan hak siaran Euro namun beliau perlu merujuk terlebih dulu kepada Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berhubung perkara itu.

Beliau mengakui kejohanan berkenaan mempunyai pengikutnya tersendiri, namun penelitian secara mendalam perlu dilakukan terutamanya kerana ia bakal melibatkan kos yang tinggi.

Ujar sumber lagi, tajaan berkenaan cukup besar dan kerajaan tidak perlu mengeluarkan sesen pun duit untuk mendapatkan hak penyiaran itu.

"Syarikat gergasi Lembah Klang itu beri jaminan akan menampung kesemua kos dan bayaran hak penyiaran. Pihak kerajaan tidak perlu mengeluarkan langsung duit untuk mendapatkannya.

"Dana berkenaan boleh digunakan untuk tujuan pembangunan yang lain atau mendapatkan hak siaran Sukan Olimpik yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Saya percaya rakyat pastinya gembira dapat mengisi hari-hari sepanjang bulan Jun hingga Julai ini dengan menonton Euro 2024 secara percuma di saluran RTM," katanya.

Terdahulu, sebuah portal tempatan membangkitkan isu hak penyiaran Euro 2024 selepas rata-rata peminat bola sepak tempatan meluahkan rasa keterujaan dan minat untuk menonton aksi Piala Eropah itu.

Namun kebanyakkan penyokong meluahkan di media sosial mahukan pihak kerajaan menyiarkannya secara percuma kerana tidak mampu melanggan siaran perlawanan yang disiarkan oleh sebuah televisyen swasta berbayar tempatan.

Saingan Euro 2024 dijangka berlansgung sengit membabitkan 24 pasukan bertanding termasuk juara bertahan Itali akan mempertahakna mahkota kejuaraan dimenangi edisi lalu.

Selain itu pasukan bertaraf bintang England, Perancis, Belanda, Belgium dan banyak lagi pasukan handalan Eropah bakal mempertaruhkan bintang bola sepak masing-masing bagi memburu status sebagai Raja Eropah.

Sebanyak 42 aksi peringkat kumpulan dan 15 perlawanan pusingan kalah mati dengan membabitkan 57 aksi secara keseluruhan bakal disajikan pada edisi kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 2:14 PM