Masariah pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2024. FOTO BERNAMA
Masariah pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2024. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuantan: Ungkapan 'guru ibarat lilin membakar diri menerangi orang lain' amat sesuai bagi menggambarkan kesungguhan bekas guru sejarah Masariah Mispari terhadap kerjayanya sehingga dinobatkan Tokoh Guru Kebangsaan 2024.

Mesra disapa Cikgu Masariah, 62, anak jati Johor ini sentiasa berusaha mencipta inovasi untuk menarik pelajarnya meminati dan memahami subjek sejarah serta mendapat gred cemerlang sehingga merangkul gelaran Guru Inovatif peringkat Wilayah Persekutuan pada 1995, 2000 dan 2014.

"Saya buat inovasi dalam kelas bagi pengajaran dan pembelajaran (PdP) mudah serta menarik kepada murid... sasaran semua pelajar saya mengajar dapat A, kalau pun seorang dapat B saya akan menangis.

"Kerjaya guru ini bukan cita-cita saya pada awalnya tapi berubah menjadi 'cinta' saya, profesion keguruan ini telah jadi 'buah hati' saya sehingga sekarang," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 bertemakan Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI di sini semalam.

Bagi memahami setiap pelajarnya, ibu kepada dua anak itu turut melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Sains pengkhususan Bimbingan dan Kaunseling di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam usaha menyantuni anak didiknya.

Pejuang kanser itu turut berkongsi prinsipnya dalam menggalas tanggungjawab sebagai tenaga pengajar iaitu bersih, cekap dan amanah selain sentiasa melakukan tugas dengan bersungguh-sungguh.

"Saya percaya bila kita kerja kuat mesti akan dapat kejayaan dan nasihat saya kepada guru muda, setiap tugasan dan jawatan ia bukan satu bebanan tetapi beri kita pengalaman untuk jadi cekap serta relevan di setiap tempat," kata guru cemerlang itu.

Beliau yang menamatkan perkhidmatan secara rasmi sebagai guru di Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya pada 1 Februari 2019 ketika berusia 58 tahun disebabkan faktor kesihatan, bagaimanapun tetap aktif berkongsi ilmu bersama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM).

Terdahulu, Cikgu Masariah menerima pengiktirafan daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut menyampaikan anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan kepada Datuk Sulaiman Wak.

Sulaiman, 65, yang menabur bakti selama 36 tahun dalam dunia pendidikan bermula sebagai guru biasa di Kuching, Sarawak sehingga menjawat jawatan tertinggi sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia menganggap pengiktirafan itu sebagai kejayaan bersama rakan-rakan lain.

"Kalau tidak ada bantuan dari rakan-rakan yang bekerjasama dengan baik saya tidak akan peroleh kecemerlangan. Saya anggap ini pengiktirafan kepada rakan-rakan di mana-mana institusi yang pernah saya berkhidmat selama ini.

"Ibarat segenggam lidi sukar dipatahkan berbanding sebatang lidi, begitu pentingnya kerjasama dan sokongan orang di sekeliling kita untuk mencapai kejayaan," kata mantan Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia yang turut berperanan menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Anak jati Sarawak yang pernah menjadi pengetua di lima buah sekolah itu turut menitipkan pesanan kepada warga pendidik generasi kini supaya sentiasa berpegang kepada falsafah pendidikan negara.

"Pada guru-guru sekarang nawaitu kita mesti betul, kita nak lahirkan manusia serba boleh ditambah cabaran yang ada sekarang ini, guru kena boleh sesuaikan diri dengan keadaan semasa," kata bapa kepada lima anak itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata guru perlu bersedia hadapi perubahan dan KPM sudah menyediakan pelbagai program latihan bagi mereka menambah pengetahuan serta kemahiran terutamanya dalam aspek digital.

Azman yang dilantik ke jawatan itu pada Februari lepas berkata sudah menjadi komitmen kementerian untuk memastikan warga pendidik dilengkapi pengetahuan sewajarnya.

"Pendidikan kita ini perlu dipacu pada tahap terbaik. Kita kena terima hakikat bahawa perubahan akan sentiasa berlaku maka kita perlu bersedia hadapi perubahan kerana yang penting ialah apa kita nak bagi kepada anak-anak pada masa akan datang.

"Guru-guru perlu bersedia sekiranya ada perkara baharu jadi kena kukuhkan pengetahuan kemahiran berkaitan perkara itu supaya anak murid kita dapat ilmu sewajarnya berdasarkan pendidikan sekarang," katanya.

Menyentuh mengenai agenda membangunkan kualiti pendidikan, beliau berkata pihaknya kini dalam proses untuk membangunkan kurikulum baharu persekolahan 2027.

"Setakat ini kita sedang laksana pelbagai sesi libat urus, seminar, bengkel dan dialog awam untuk dapatkan pandangan pelbagai pihak melibatkan semua kelompok masyarakat antaranya guru, ibu bapa, murid dan cendekiawan. Menerusi usaha ini kita yakin kualiti pendidikan dapat ditingkatkan," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 2:48 PM