AKSI  Morata menjaringkan gol penyamaan Sepanyol. FOTO EPA
AKSI Morata menjaringkan gol penyamaan Sepanyol. FOTO EPA
Agensi

London: Alvaro Morata meletakkan namanya dalam catatan sejarah selepas jaringan penyamaannya ketika menentang Itali membolehkan penyerang Sepanyol itu memintas rekod Fernando Torres dan menyamai pencapaian Cristiano Ronaldo di Euro.

Rembatan Morata pada minit ke-80 mengikat kedudukan selepas Itali mendahului 1-0 menerusi jaringan Federico Chiesa pada aksi separuh akhir sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan namun Sepanyol tewas 2-4 menerusi penentuan penalti.

Jaringan itu yang keenamnya di Euro mengatasi koleksi Torres yang sebelum ini adalah penjaring terbanyak Sepanyol dengan lima gol.

Morata turut muncul pemain kedua meledak tiga atau lebih jaringan di Euro menyamai pencapaian Cristiano Ronaldo yang melakukannya di tiga kejohanan berbeza.

Malah Morata yang tidak tersenarai dalam kesebelasan utama ketika menentang Itali muncul pemain pertama Sepanyol yang menjaringkan gol untuk kelab dan negaranya di Stadium Wembley.

Bagaimanapun, Morata tidak bernasib baik apabila dia gagal menjaringkan penalti penting sebelum Jorginho tenang meledak penalti terakhir untuk membantu Itali mara ke final.

Hanya kerana kegagalan itu, Morata yang sebelum ini teruk dikritik penyokong terus menjadi mangsa kecaman penyokong Sepanyol di media sosial. Daripada seorang wira, dia dianggap petualang yang menghancurkan impian La Roja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 10:59 AM