AFP

London: Jurulatih Itali, Roberto Mancini memberi amaran kepada skuadnya bahawa tugas belum selesai walaupun Azzurri berjaya menumpaskan Sepanyol dalam penentuan penalti untuk mara ke perlawanan akhir Euro 2020.

"Pujian harus diberikan kepada pemain namun ia masih belum berakhir. Kami harus kembali memperbaiki kekuatan, ia sangat sukar.

"Saya sedar ia akan menjadi perlawanan paling sukar dalam kejohanan. Ia adalah aksi keenam kami, ia sangat memenatkan tapi kami memang mahu ke perlawanan akhir," kata Mancini selepas pasukannya menang penentuan penalti 4-2 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 di aksi sebenar dan masa tambahan.

Rembatan lencong Federico Chiesa meletakkan Itali di depan selepas sejam perlawanan berlangsung namun Alvaro Morata yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-80 untuk mengheret aksi ke masa tambahan.

Morata gagal menyempurnakan sepakannya di penentuan penalti begitu juga dengan pemain Itali, Manuel Locatelli selaku pemain pertama mengambil tugas berkenaan.

"Penalti adalah satu perjudian. Ia adalah perlawanan sukar. Sepanyol pasukan yang hebat, mereka bermain dengan baik.

"Kami berjaya memberikan aksi terbaik tapi tidak sama seperti biasa. Kami tahu perlu bergelut dan mereka membuatkan kami berasa payah sejak dari awal.

"Selepas itu kami menemui cara yang betul dan kami tidak mengambil risiko telalu banyak. Ia adalah perlawanan yang sangat sengit.

"Kami berhak berada di sini, ia tidak mudah, ada saja hampir tidak mempercayainya dan sekarang kami sudah ke final," kata Mancini.

Itali, yang memburu kejuaraan Euro buat kali pertama sejak 1968, akan berdepan sama ada England atau Denmark di final.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 7:04 AM