Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika sesi sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Sabah bertempat di Golden Hotel. FOTO RAFIQAH DAHAL
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika sesi sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Sabah bertempat di Golden Hotel. FOTO RAFIQAH DAHAL
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menunjukkan minat menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya sudah membuat perbincangan secara tidak rasmi dengan beberapa parti politik dari gabungan terbabit.

"(Perbincangan) secara tak rasmi ada, tapi secara rasmi belum lagi. Kita sebenarnya mempunyai hubungan agak rapat dengan beberapa pemimpin tertinggi yang aktif di Sabah ini, khususnya GRS.

"Saya fikir anda semua sudah tahu latar belakang saya yang sebelum ini dari Umno kemudian ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Bersatu Sabah yang kini dikenali sebagai GRS, jadi mereka sebenarnya orang yang sama.

"Mereka adalah rakan lama yang kita berjuang bersama, menang bersama, menghadapi cabaran bersama-sama jadi ia adalah wajar untuk kita cuba bercakap dengan mereka.

"Jadi terpulang kepada mereka untuk mempertimbangkan kami (sekiranya) ada nilai untuk mereka, mungkin kami ada sesuatu yang boleh disumbangkan," katanya.

Mengulas lanjut, Mukhriz menjelaskan pihaknya tidak mempunyai niat lain selain menyumbangkan khidmat demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

"Kami tidak mempunyai niat lain selain menyumbangkan khidmat kepada rakyat Sabah dan juga Malaysia secara keseluruhannya. Tidak ada gerakan politik (political maneuvering), kita tidak mahu rebut kuasa, itu semua tidak penting.

"Tujuan kami tidak lain mahu menyumbang kepada kesejahteraan rakyat, itu saja. Kadang-kadang dikatakan kerana prinsip kita tidak ke mana-mana, ada yang sebut begitu.

"Kita tidak macam itu. Kita berpegang teguh pada prinsip. Kadang-kadang, memang dirasakan kerana prinsip kita tidak boleh maju ke hadapan tapi kita rasakan rakyat dapat menilai mana (parti politik) yang teguh berprinsip," katanya dalam sidang media selepas sesi Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Peringkat Sabah bertempat di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pejuang Sabah, Nicholas Sylvester dan timbalannya, Razif Abdillah.

Mengulas mengenai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, Mukhriz berkata, pihaknya bermuhasabah selepas kekalahan dari Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu untuk merangka strategi lebih berkesan.

"Berdasarkan daripada pengalaman sebelum ini, kita perlu bermuhasabah diri dan ukur baju di badan sendiri. Kalau sebelum ini kita cuba untuk menampilkan calon di banyak tempat, kali ini mungkin kita fokus kawasan yang kita miliki sokongan dan ada nilai tambah yang kita boleh bawa di kawasan itu.

"Jadi dengan cara itu, dengan sumber terhad yang ada pada kita, jadi kita tidak perlu bergerak sebagai sebuah parti besar. Kita juga tahu bahawa kita bukanlah besar sangat.

"Tapi saya rasa penting juga untuk kita pertimbangkan potensi bekerjasama dengan pihak lain.

"Gandingan kekuatan antara parti politik lain ini saya ingat boleh menjadi satu peluang bagi kita menyatukan sokongan yang ada pada rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 4:36 PM