GELAGAT Evra di Instagram. FOTO Agensi
GELAGAT Evra di Instagram. FOTO Agensi
Agensi

London: Patrice Evra memuat naik video di mana dia menyatakan sokongan kepada England untuk memenangi kejohanan utama buat kali pertama sejak 'dinosaur masih hidup'.

England menewaskan Ukraine 4-0 di Rom, Ahad lalu untuk mengatur pertemuan separuh akhir bertemu Denmark awal pagi Khamis ini dan bakal beraksi di pentas final 12 Julai ini jika layak sekali gus final kedua mereka di kejohanan utama.

Evra yang juga pertahanan Manchester United menyokong skuad bimbingan Gareth Southgate untuk memenangi kempen Euro kali ini dengan gelagat tersendiri di Instagram.

"Evrasis sudah menunggu sejak sekian lama," tulisnya yang kemudian meletakkan tanda emoji api, dinosaur dan trofi dengan tanda pagar #ilovethisgame #mondaymotivation #positive4evra @england @oasis #euro2021 #fishandchips #dinosaur'.

Menerusi video tular itu yang kini sudah mendapat lebih 700,000 jumlah tontotan, Evra memakai jersi England dengan cermin mata bulat dan rambut palsu gaya kumpulan Oasis.

Ia sebagai tanda penghormatan kepada gandingan adik beradik Gallagher yang membentuk kumpulan pop berasal dari Manchester.

Legenda berusia 40 tahun itu berkata: "Ia adalah hari Isnin. Evrasis sudah menunggu sejak sekian lama.

"Kali terakhir England memenangi trofi ketika dinosaur masih hidup. Jadi ayuh, anda boleh melakukannya kali ini.

Evra kemudian bersorak: "Adakah anda bersedia untuk meraikan kegembiraan? Ayuh England, ayuh England!"

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 9:32 AM