PENYOKONG England bakal memenuhi Stadium Wembley. FOTO AFP
PENYOKONG England bakal memenuhi Stadium Wembley. FOTO AFP
Agensi

London: Kejayaan England membenam Ukraine mencetuskan fenomena usaha mendapatkan tiket bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir Euro bertemu Denmark awal pagi Khamis.

Selepas Three Lions mengesahkan tempat ke separuh akhir buat kali pertama dalam tempoh 25 tahun, berpuluh ribu penyokong cuba untuk mendapatkan tiket secara dalam talian menerusi laman web Uefa.

Namun mereka kecewa kerana kesemua tiket yang dijual secara dalam talian itu sudah habis terjual.

Situasi itu menyaksikan ada yang mengambil kesempatan menjual semula tiket berkenaan sehingga mencecah £1,400 (RM8,000) sekeping.

Harga itu adalah 20 kali ganda lebih mahal berbanding harga tiket asal paling murah iaitu £73 (RM420).

Malah tiket aksi final sudah pun dijual dengan harga £3,000 (RM17,200) sekeping meskipun belum mengetahui pasukan manakah yang akan beraksi di pentas itu.

England membenam Ukraine 4-0 di Rom, Ahad lalu menerusi aksi yang cukup meyakinkan.

Putera William menerusi Twitter miliknya berkata: "Satu lagi persembahan cemerlang daripada England. Tak sabar untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir."

Seramai 60,000 penyokong dibenarkan untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir di Wembley sekali gus kehadiran penyokong paling ramai sejak pandemik Covid-19 melanda dunia Mac tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 8:46 AM