BARISAN pemain Sepanyol meraikan kejayaan menewaskan Switzerland. FOTO AFP
BARISAN pemain Sepanyol meraikan kejayaan menewaskan Switzerland. FOTO AFP
Agensi

Saint Petersburg: Barisan pemain Sepanyol sentiasa percaya mereka mampu muncul juara di saingan Euro dan ia dibuktikan selepas mara ke pentas separuh akhir, kata penyerang, Mikel Oyarzabal.

Jurulatih Sepanyol, Luis Enrique mencetuskan banyak persoalan apabila tidak memilih Sergio Ramos dalam skuad kali ini manakala keputusan seri dengan Sweden dan Poland di awal saingan menambahkan lagi serangan media terhadap Sepanyol.

Bagaimanapun segala kritikan itu berubah selepas Sepanyol melakar kemenangan ke atas Slovakia dan Croatia selain meraih kemenangan menerusi penentuan penalti menewaskan Switzerland di suku akhir.

Sepanyol akan bertemu Itali di Stadium Wembley awal pagi Rabu ini.

"Sejak dari hari pertama kami yakin mempunyai pasukan mantap dan kami membuktikannya," kata Oyarzabal kepada media.

"Orang ramai berhak memperkatakan apa sahaja yang disukai. Ia adalah sebahagian daripada kehidupan dalam bola sepak tapi kami tidak pernah meragui kemampuan sendiri."

Sepanyol akan bertemu Itali buat kali keempat berturut-turut di pentas Euro.

Sepanyol menewaskan Itali menerusi penentuan penalti pada suku akhir Euro 2008, mengalahkan lawan sama 4-0 di final Euro 2012 sebelum tewas 0-2 pada Euro 2016.

Itali mempamerkan prestasi cemerlang setakat ini namun Oyarzabal enggan terlalu memikirkan perkara itu.

"Mereka adalah pasukan hebat dengan barisan pemain beraksi di tahap tertinggi bersama kelab tetapi kami juga tidak kurang hebatnya," kata Oyarzabal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 1:14 AM