PENJAGA gol Switzerland, Yann Sommer (tengah) berlatih bersama rakan sepasukan menjelang perlawanan menentang Sepanyol, hari ini. FOTO EPA
PENJAGA gol Switzerland, Yann Sommer (tengah) berlatih bersama rakan sepasukan menjelang perlawanan menentang Sepanyol, hari ini. FOTO EPA
AFP

Paris: Switzerland berharap mencipta satu lagi kejutan di Euro 2020 apabila berdepan Sepanyol di suku akhir, hari ini.

Mereka layak buat kali pertama ke suku akhir kejohanan utama sejak 1954 selepas kemenangan mengejutkan menerusi sepakan penalti ke atas Perancis di Bucharest, Isnin lalu dan anak buah Vladimir Petkovic berharap mampu mengejutkan Sepanyol pula.

"Kami perlu sentiasa dahaga untuk layak ke pusingan berikutnya," kata Petkovic, yang turun tanpa kapten, Granit Xhaka, yang cemerlang bersama Perancis, tetapi digantung perlawanan hari ini.

Sepanyol tiba di Saint Petersburg berbekalkan kemenangan 5-3 menerusi masa tambahan ke atas Croatia di pusingan kedua, keputusan cemerlang berterusan selepas membelasah Slovakia 5-0 pada perlawanan terakhir kumpulan.

Juara Eropah pada 2008 dan 2012 itu semakin meningkat dalam usaha mencipta rekod muncul juara kali keempat, tetapi jurulatih Sepanyol, Luis Enrique sedar ancaman daripada Switzerland.

Kedua-dua pasukan itu bertemu di Liga Negara, hujung tahun lalu termasuk seri 1-1 apabila penjaga gol, Yann Sommer, yang menyelamatkan sepakan penalti penentuan ketika Switzerland menewaskan Perancis, turut menyelamatkan dua sepakan penalti Sergio Ramos.

"Nasib baik kami atau kurang bernasib baik, kami sudah merasainya," kata Luis Enrique. "Mereka antara pasukan terbaik di kejohanan ini."

Perlawanan suku akhir itu tetap diadakan di Stadium Krestovsky, Saint Petersburg walaupun wujud kebimbangan mengenai jangkitan di bandar Russia itu terutama varian Delta.

Hari ini, 679 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Russin, yang juga kematian tertinggi harian bagi empat hari berturut-turut.

Saint Petersburg merekodkan 101 kematian, berbanding rekod tertinggi iaitu 119 kematian pada minggu lalu, tetapi pihak berkuasa Russia hari ini menyatakan tiada perintah berkurung akan dilaksanakan.

Pemenang perlawanan antara Switzerland dan Sepanyol itu akan beraksi di separuh akhir di London, Selasa depan menentang Belgium atau Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 10:17 PM