REAKSI De Bruyne selepas tamat perlawanan. FOTO EPA
REAKSI De Bruyne selepas tamat perlawanan. FOTO EPA
AFP

Copenhagen: Pemain tengah Belgium Kevin De Bruyne berkata dia tidak meraikan jaringan kemenangan ketika menentang Denmark bagi menghormati penyokong tuan rumah susulan insiden Christian Eriksen rebah di padang minggu lalu.

Pemain dan penonton memberi memberi tepukan gemuruh pada minit ke-10 di Stadium Parken sebagai tanda sokongan kepada bintang Denmark itu yang mengalami serangan jantung pada aksi pertama menentang Finland.

De Bruyne yang tampil kali pertama di kejohanan itu selepas pulih kecederaan dialami pada final Liga Juara-Juara masuk daripada bangku simpanan dan pantas mencetuskan impak apabila membantu Thorgan Hazard menyamakan kedudukan dan meledak gol kemenangan pada minit ke-70.

"(Jurulatih) Roberto Martinez ketika memasukkan saya mahu saya mencipta lebih banyak ruang," kata pemain Manchester City itu.

"Tetapi saya tidak meraikan jaringan itu. Saya amat menghormati penyokong Denmark.''

Kemenangan 2-1 itu membolehkan Belgium yang ketinggalan menerusi jaringan Yussuf Poulsen mara ke peringkat kalah mati selepas meraih dua kemenangan berturut-turut.

"Kami boleh gembira,'' kata De Bruyne. "Kami tahu agak sukar menentang Denmark di hadapan penyokong mereka dengan apa yang berlaku.''

Belgium akan menentang Finland di Saint Petersburg pada Isnin dengan satu mata sudah cukup untuk muncul juara Kumpulan B.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 6:39 AM