ERIKSEN sentiasa berada di belakang rakan sepasukannya walaupun tidak dapat beraksi. FOTO AFP
ERIKSEN sentiasa berada di belakang rakan sepasukannya walaupun tidak dapat beraksi. FOTO AFP
AFP

Copenhagen: Denmark yakin bahawa Christian Eriksen sudah semakin pulih dan akan memberi sokongan padu bersama rakyat mereka tatkala cuba menghidupkan peluang di Euro 2020 menjelang pertemuan dengan Belgium di Copenhagen tengah malam esok.

Pasukan bimbingan Kasper Hjulmand sedar bahawa peluang untuk mara dari Kumpulan B berada dalam keadaan bahaya jika mendapat layanan sama seperti dilakukan Belgium terhadap Russia dan harus segera bangkit melupakan kekalahan 0-1 kepada Finland.

Eriksen memberitahu seluruh dunia semalam bahawa dia berada dalam keadaan baik dan sedang dipantau selepas rebah ketika di pertengahan aksi sebelum ini.

Dia akan tetap berada di belakang rakan sepasukan yang melindunginya ketika pasukan perubatan memberi bantuan pernafasan selepas dia rebah.

Para pemain masih bingung ketika itu, selepas Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) meminta mereka kembali ke padang selepas dua jam setengah untuk menyambung semula aksi walaupun masih lagi terkenang nasib yang menimpa Eriksen.

Bagaimanapun, Hjulmand berkata, Eriksen setiap hari menghubungi rakan sepasukannya dan cuba untuk memberi semangat sebelum mereka berdepan pasukan nombor satu dunia itu.

Hjulmand berkata, tidak ada siapa dapat menggantikan tempat Eriksen namun mereka akan berusaha memanfaatkan emosi penonton di Stadium Parken, di mana Denmark bakal mendapat sokongan kira-kira 25,000 penyokong selepas negara Skandinavia itu melonggarkan sekatan Covid-19.

"Ia akan berlangsung dengan penuh emosi. Bagaimanapun, kami akan gunakan untuk perlawanan nanti dan bersedia memberi tentangan," kata Hjulmand.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 11:37 AM