DOKTOR pasukan Denmark, Morten Boesen pada sidang media secara maya, hari ini. FOTO EPA
DOKTOR pasukan Denmark, Morten Boesen pada sidang media secara maya, hari ini. FOTO EPA
AFP

Copenhagen: Doktor pasukan Denmark hari ini menyatakan 'belum ada penjelasan' punca pemain tengah, Christian Eriksen rebah di padang ketika menentang Finland, semalam, tetapi mengesahkan dia mengalami 'cardiac arrest' atau jantung terhenti.

"Dia sudah tidak sedarkan diri dan kami melakukan CPR," kata doktor pasukan, Morten Boesen pada sidang media secara maya.

"Sejauh mana kami hampir menyelamatkannya? Saya tidak pasti. Kami berjaya melakukannya selepas sekali menggunakan alat defibrilator, jadi ia sangat pantas," tambah Boesen.

Bagaimanapun, dia menyatakan belum dapat mengesahkan punca serangan jantung terhadap pemain berusia 29 tahun itu.

"Belum ada penjelasan setakat ini," kata Boesen sambil menyatakan semua ujian dijalankan terhadap pemain itu yang kini dirawat di hospital, menunjukkan keputusan baik.

"Itu antara sebab dia masih berada di hospital," katanya.

Bintang Inter Milan itu tiba-tiba rebah pada minit ke-43 perlawanan Kumpulan B menentang Finland, semalam dan tidak bergerak pada ketika pasukan perubatan melakukan CPR.

Dia terbaring hampir 15 minit sebelum diusung ke luar padang dan dikejarkan ke hospital.

Perlawanan dihentikan seketika sebelum disambung semula selepas pemain itu disahkan sudah sedar dan stabil, sebelum Finland akhirnya menang 1-0.

Pemain Denmark diberi pilihan sama ada mahu menyambung permainan atau menangguhkannya dan hari ini, ketua jurulatih, Kasper Hjulmand berkata, dia menyesal dengan keputusan untuk menyambung perlawanan.

"Secara jujurnya, saya tidak fikir kami patut turun ke padang semula," kata Hjulmand kepada wartawan.

Hjulmand berkata, Eriksen memberitahunya yang dia berharap pasukan itu akan terus bermain dalam perlawanan itu.

"Christian menyatakan kami patut terus bermain, jadi kami turun semula menyambung perlawanan itu. Kami mahu bermain untuk Christian," kata Hjulmand.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 10:49 PM