REAKSI resah barisan pemain Denmark ketika pasukan perubatan merawat Eriksen. FOTO AFP
REAKSI resah barisan pemain Denmark ketika pasukan perubatan merawat Eriksen. FOTO AFP
AFP

Copenhagen: Doktor pasukan Denmark menggambarkan detik mengerikan sebaik menyedari nadi Christian Eriksen terhenti ketika pasukan perubatan bertungkus lumus untuk menyelamatkannya di depan barisan pemain lain dan penyokong di stadium.

Pasukan perubatan memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada pemain tengah Inter Milan itu di atas padang selepas dia rebah ketika pertemuan dengan Finland pada saingan Euro 2020 dan kemudian dilaporkan sudah sedar dan berada dalam keadaan stabil di hospital.

"Kami dipanggil ke padang selepas Christian rebah. Saya tak dapat saksikannya sendiri tetapi memang jelas dia tidak sedarkan diri," kata doktor Martin Boesen pada sidang media.

"Apabila saya mendekatinya, dia masih bernafas tetapi tiba-tiba segalanya berubah dan kami kemudian mula memberikannya CPR.

"Bantuan yang diterima daripada pasukan perubatan dan kakitangan lain sangat pantas. Dengan kerjasama mereka, kami dapat melakukan apa yang perlu dilakukan. Kami berjaya menyelamatkan Christian."

Jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand memberi pujian kepada pasukannya kerana dapat beraksi semula dan menamatkan perlawanan selepas melihat situasi genting dialami Eriksen.

"Kami bersetuju untuk beraksi semula dan apa yang kami lakukan sangat luar biasa," kata Hjulmand dengan penuh emosi.

"Saya bersyukur mempunyai barisan pemain seperti mereka ini. Cukup berbangga dengan mereka yang mengambil berat antara satu sama lain.

"Pertama sekali mereka memutuskan untuk tidak melakukan apa-apa sehinggalah yakin bahawa Christian sudah sedar.

"Jadi kami mempunyai dua pilihan, sama ada meneruskan perlawanan atau beraksi esok. Setiap pemain bersetuju untuk terus bermain hari ini.

"Malah pemain beraksi dengan baik dan mendominasi perlawanan selepas ia bersambung semula. Saya sangat terkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 6:37 AM