Thierry Henry menenangkan penyerang Belgium, Romelu Lukaku selepas perlawanan berdepan Croatia. FOTO AFP
Thierry Henry menenangkan penyerang Belgium, Romelu Lukaku selepas perlawanan berdepan Croatia. FOTO AFP
Agensi

Doha: Bintang Belgium, Romelu Lukaku bertindak menumbuk dinding tempat duduk pemain dan tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa selepas pasukannya tersingkir dari saingan Piala Dunia.

Belgium perlu menewaskan Croatia untuk mara dalam kelompok 16 terbaik di Piala Dunia, namun mereka mencatat keputusan seri tanpa jaringan.

Lukaku bagaimanapun mempunyai beberapa peluang terbaik untuk membawa skuad kendalian Roberto Martinez mara ke peringkat kalah mati.

Selepas wisel tamat permainan dibunyikan, Lukaku kelihatan melepaskan geram dengan menumbuk dinding plastik tempat duduk pemain sehingga pecah dan tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa. Dia kemudian ditenangkan oleh beberapa jurulatih Belgium ia termasuk Thierry Henry.

Penyerang Inter Milan yang dipinjam dari Chelsea, tidak dapat menahan air mata ketika beredar ke bilik persalinan.

Lukaku bergelut untuk pulih daripada kecederaan menjelang saingan Piala Dunia dan tidak begitu cergas untuk bersama pasukan permulaan negaranya menentang Croatia - dia hanya dimasukkan pada babak kedua dalam usaha membantu Belgium daripada tersingkir awal.

Namun semuanya serba tidak menjadi buat Lukaku selepas beberapa percubaannya gagal menerjah jaring.

Ramai yang simpati nasib dialami Lukaku dan mendakwa penyerang itu belum cukup bersedia berdepan Croatia.

Bekas penyerang Chelsea, Didier Drogba berkata dia percaya tindakan Lukaku itu bukan semata-mata kerana kecewa gagal menjaringkan gol sebaliknya mengenai semangat berpasukan ketika kejohanan.

"Gagal membantu pasukan adalah salah satu daripadanya. Masalah dalaman pasukan. Cakap-cakap mengenai perselisihan pendapatan antara pemain. Ini akan menjadi perkara yang lebih mengecewakan daripada terlepas peluang menjaringkan gol.

Tambahnya: "Kita tidak boleh menyalahkan pada seseorang yang mengalami kecederaan selama dua bulan. Sebagai penyerang dia memang dipertanggungjawabkan untuk menjaringkan gol tetapi tidak boleh menyalahkan dia semata-mata." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 6:28 PM