TUNKU Ismail juga mempertahankan aksi penyerang naturalisasi negara, De Paula yang tidak bernasib baik. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
TUNKU Ismail juga mempertahankan aksi penyerang naturalisasi negara, De Paula yang tidak bernasib baik. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Semua pihak perlu realistik dan berpijak di bumi nyata susulan kekalahan 0-4 skuad Harimau Malaya di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Menurut Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, UAE yang dibimbing Bert Van Marwijk menduduki kedudukan ranking lebih tinggi berbanding skuad negara.

Ujarnya, beberapa kesilapan mudah pemain turut menyumbang kepada kekalahan terbabit dan ia harus diperbaiki segera.

"Tiada 'game plan' dan banyak sangat kesilapan individu. Di tambah UAE bukan lawan yang mudah.

"Jangan lupa ranking mereka 73 di dunia. Kita 153. Jadi kita kena realistik dan sedar," katanya ketika menjawab soalan peminat di laman Story Instagramnya, hari ini.

Dalam perkembangan sama, pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) mempertahankan aksi penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula yang tidak bernasib baik.

"Semalam tak bagus (ketika aksi menentang UAE). Masa aksi persahabatan (lawan dengan Kuwait) dia jaringkan gol. Semua pemain ada hari yang baik dan tidak. "Mereka manusia biasa. Tetapi mereka harus bekerja keras dan meningkat. Perlu lebih konsisten," katanya.

Terdahulu, peminat bola sepak tempatan mengkritik De Paula di atas aksi longlainya ketika menentang UAE, malah turut dilabel pemalas apabila lebih banyak berjalan sepanjang aksi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 11:39 PM