PEMAIN Hulubalang FC bergambar keriangan bersama Mohd Yusoff (tengah)
PEMAIN Hulubalang FC bergambar keriangan bersama Mohd Yusoff (tengah)

Melaka: Pasukan Hulubalang FC dari Bachang muncul juara Divisyen Satu Liga Melaka selepas menewaskan Perma FC 2-1 pada aksi final di Stadium Hang Tuah, baru -baru ini.

Hulubalang meraih RM13,000 berserta piala pusingan dan pingat manakala Perma meraih RM7,000 serta pingat yang disampaikan Timbalan Presiden Melaka United Soccer Association (MUSA) Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Sementara itu tempat ketiga dan keempat pula milik pasukan Air Merbau dan MIFA FC dengan masing-masing turut ceria apabila mem
bawa pulang RM2,500.

Pengerusi kejohanan Khairi Anuar Ahmad berkata, sebanyak 16 pasukan beraksi di Divisyen Satu Liga Melaka yang juga menjadi pentas untuk memberikan pendedahan kepada pelapis skuad Piala Belia, Liga FAM, SAMB dan Liga Perdana.

Beliau berkata, turut berlangsung perlawanan Divisyen Dua Liga Melaka membabitkan penyertaan sebanyak 27 pasukan mewakili pelbagai agensi di negeri ini.

“Liga Melaka dianggap sebagai pentas mencungkil bakat baharu dalam bola sepak dan bagi pemain mempamerkan aksi cemerlang bakat mereka diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Selain itu Liga Melaka juga amat sinonim dalam melahirkan jaguh bola sepak mewakili negeri dan negara termasuk Datuk Soh Chin Aun, Ramli Junit, Azmi Hasan, Nordin Ahmad, Zainal Nordin, Jantan Ali, G Torairaju dan Datuk Ong Kim Swee,” katanya.

Khairi Anuar berkata, bagi Divisyen Dua pula juara menjadi milik BSN manakala naib juara Teman FM dengan masing-masing membawa pulang RM8,000 dan RM5,000 serta hadiah iringan. Tempat ketiga dan keempat menjadi milik pasukan Bara FC dan Masjid Tanah FC.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2016 @ 10:33 AM