Pemain JDT, Gonzalo Cabrera (tengah) diasak pemain Terengganu FC dalam saingan Liga Super baru-baru ini. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Pemain JDT, Gonzalo Cabrera (tengah) diasak pemain Terengganu FC dalam saingan Liga Super baru-baru ini. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Berhati-hati jika mencipta kejutan seri atau berjaya tewaskan juara tujuh kali Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) kerana dikatakan akan terkena 'badi' malang iaitu prestasi secara tiba-tiba merudum dengan tewas mengejut pada perlawanan seterusnya.

Mengikut statistik ketika ini, empat pasukan berjaya mencatatkan keputusan positif ketika bertemu skuad berpangkalan di selatan tanah air itu iaitu membabitkan Selangor FC, Perak FC dan terbaru adalah Kuala Lumpur City FC.

Jaguh daripada pantai timur iaitu Terengganu FC pula setakat ini terus kekal sebagai satu-satunya pasukan yang berjaya menewaskan JDT 1-0 baru-baru ini.

Tiga daripada empat pasukan berkenaan iaitu Selangor FC, Perak FC dan Terengganu FC boleh dikatakan agak huru-hara selepas bertemu JDT apabila tewas perlawanan seterusnya dengan skuad Penyu paling memalukan diaibkan Penang FC 1-4 di gelanggang sendiri.

Situasi itu diakui oleh Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila pasukan berkenaan yang bermain cukup bagus ketika menentang skuad Harimau Selatan namun mempamerkan prestasi tidak konsisten pada aksi seterusnya.

"Bila lawan JDT saja main bagus…Semua jadi bagus…Next week hancur balik semula," katanya, menerusi ruangan Instagram milik Tunku Ismail.

Selain itu, ketika ini Kuala Lumpur City FC masih lagi belum terkena badi JDT dengan pasukan itu akan bertemu Penang FC hari ini.

Namun, pemerhati bola sepak termasuk penyokong melihat situasi berkenaan tidak lebih kepada kebetulan berikutan empat pasukan yang mencipta kejutan bertemu JDT itu akan bertemu Penang FC pada perlawanan berikutnya yang ketika ini skuad terbabit digelar sebagai 'The Killer Giant'.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 3:08 PM