MUHAMMAD Firdaus Chew (tengah). FOTO Aizuddin Saad
MUHAMMAD Firdaus Chew (tengah). FOTO Aizuddin Saad
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perubahan posisi daripada penyerang kepada pertahanan kanan nyata membawa tuah kepada bekas pemain Penang FC, Muhammad Jafri Firdaus Chew apabila aksinya berjaya menarik perhatian Sabah FC untuk diserapkan pada musim 2023.

Malah, dia sendiri semakin selesa dan gemar bermain di posisi terbabit yang disifatkan sebagai satu pilihan tepat buat dirinya dalam memastikan kesinambungan sebagai pemain bola sepak profesional.

Pada masa sama, kehadiran Sabah di pentas Piala AFC pada musim 2023 menjadikan dia tidak berfikir dua kali untuk menerima cabaran bermain bersama skuad The Rhinos.

"Terus terang, saya tidak jangka cubaan pertama bermain selaku pertahanan kanan semasa bertemu JDT pada separuh akhir Piala FA mengubah karier saya.

"Ini satu cabaran baharu pergi ke Sabah dengan akan bermain posisi lain dan peluang untuk bermain di pentas Piala AFC, menjadikan saya teruja datang ke sini.

"Jurulatih sudah berbincang tentang peranan saya di Sabah, yang mana beliau mahu banyak menggunakan saya di posisi pertahanan kanan.

"Namun pada masa sama, meminta saya untuk sentiasa bersedia seandainya diperlukan di posisi lama iaitu selaku penyerang atau sayap jika keadaan memerlukan," katanya.

Jafri sebelum ini amat dikenali ketika beraksi bersama pasukan muda negara terutama di peringkat Bawah 23 dan 19 dengan membantu skuad kebangsaan layak ke final Skuad Sukan Sea 2017.

Selepas memulakan karier yang baik di Penang (2016-17) dan PKNS (2018-19), nasib tidak menyebelahi Jafri apabila dia tidak beraksi selama satu musim pada 2020.

Dia kembali bersama Penang selama dua musim dari 2021 hingga 2022, musim ini pemain itu diturunkan dalam 17 perlawanan(termasuk Piala Malaysia dan Piala FA) dengan 12 daripadanya bermula selaku kesebelasan utama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 6:01 PM