MARCEL pemain lincah Sang Kenari.  FOTO KDA FAC
MARCEL pemain lincah Sang Kenari. FOTO KDA FAC
Izzali

Alor Setar: Pemain tengah Kedah Darul Aman FC, Dechi Marcel berharap mereka dapat kembali mempersembahkan rentak terbaik apabila turun bertemu Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Ahad ini.

Pemain kelahiran Ivory Coast ini yakin skuad Sang Kenari akan bangkit dengan lebih baik dalam usaha memburu tiga mata bagi memastikan kedudukan dalam kelompok tiga pasukan teratas liga tidak tergugat selepas tewas 4-1 kepada Selangor FC minggu lalu.

"Kami perlu kembali bangkit untuk menghadapi cabaran seterusnya. Selepas tewas pada perlawanan lalu, kini kami berusaha mengatasi kelemahan yang ada bagi meningkatkan lagi keupayaan pasukan.

"Semangat juang kami tetap kental dan kami tidak mudah berputus asa dengan kekalahan lalu kerana dalam bola sepak ini penuh dengan cabaran dan rintangan yang kami perlu sahut demi mencapai kejayaan.

"Kami hadir semula ke padang latihan dengan semangat yang tinggi, bersama tekad inginkan kemenangan dalam menghadapi perlawanan seterusnya bertemu Penang FC, Ahad ini," katanya.

Marcel yang mempamerkan aksi lincah di ruang tengah setiap kali beraksi dilihat sebagai individu penting dalam menghidupkan banyak gerakan ketika melancarkan serangan ke kubu lawan mahupun ketika dalam situasi bertahan.

Namun sentuhannya sedikit terbatas diruang serangan dalam dua perlawanan sebelum ini selepas rakan sepasukannya, Dennis Buschening yang tidak dapat beraksi akibat kecederaan. Ini memaksa Marcel lebih banyak berada di ruang tengah dan pertahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 1:03 PM