SAIFUL (tiga kiri) ketika menyampaikan sumbangan peralatan bola sepak di Ayer Keroh. FOTO NAZRI ABU BAKAR
SAIFUL (tiga kiri) ketika menyampaikan sumbangan peralatan bola sepak di Ayer Keroh. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar

Melaka: Pengurusan pasukan Melaka United (MU) akan menilai prestasi jurulatih Zainal Abidin selepas dua perlawanan skuad itu berdepan Sabah dan PJ City sebelum membuat keputusan kedudukan jurulatih terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif MUFC, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri berkata, pengendali berpengalaman itu diberi peluang dalam dua perlawanan skuad berkenaan termasuk aksi di Kota Kinabalu pada Rabu ini dan di Stadium Hang Jebat pada 9 Mei ini.

Menurutnya, pengurusan tidak mengambil tindakan tergesa-gesa walaupun mendapat pelbagai respons peminat susulan prestasi pasukan yang kurang memberangsangkan justeru terus memberi peluang kepada Zainal merangka strategi.

"Kita mengharapkan prestasi pasukan dalam dua perlawanan ini bakal lebih baik kerana ia penting untuk memperbaiki kedudukan semasa pasukan.

"Justeru, kami memberi peluang sepenuhnya kepada Zainal menentukan barisan pemain untuk merekodkan keputusan yang positif selepas tewas kepada Kedah minggu lalu," katanya di Ayer Keroh dalam majlis berbuka puasa anjuran Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) kelmarin.

Bagaimanapun katanya, MUFC belum pernah mengadakan rundingan dengan mana-mana individu untuk mengisi tempat jurulatih terbabit setakat ini dengan fokus ditumpukan kepada usaha pasukan itu meraih kejayaan dalam dua aksi terbabit.

Baginya, spekulasi perubahan dalam barisan kejurulatihan susulan prestasi Melaka yang nyata masih belum mantap akan terus bertiup namun penilaian akan dilakukan selepas dua perlawanan terbabit.

Malah dia mengakui terdapat lebih 10 permohonan yang diterima dan kebanyakan jurulatih dari luar negara yang ingin mahu mencuba nasib.

Sebelum ini, Media melaporkan, tiada sebarang perbincangan atau nama-nama jurulatih untuk menggantikan Zainal namun perubahan yang dilakukan akan diputuskan oleh pihak pengurusan bersama pemilik skuad berkenaan kelak.

Sehubungan itu, dia meminta barisan kejurulatihan dan pembantu Zainal terus bekerjasama melonjakkan prestasi pasukan dua dua aksi selepas ini.

Dalam perkembangan lain, pihaknya juga akan meneliti prestasi keseluruhan semua lima pemain import sehingga tamat aksi separuh musim Liga Super 2021.

Beliau berkata, kemungkinan besar terdapat rombakan kecil pada jendela perpindahan kedua dengan penilaian menyeluruh sebelum membuat keputusan menjelang pembukaan jendela perpindahan.

Saiful berkata, apapun semuanya berdasarkan kewangan dan bajet mengurus sebelum membuat sebarang keputusan dan perubahan dalam pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 6:43 PM