Aksi pemain Melaka United, Sony Norde (kiri) ketika saingan Liga Super berdepan Sabah FC. FOTO Mohd Adam Arinin
Aksi pemain Melaka United, Sony Norde (kiri) ketika saingan Liga Super berdepan Sabah FC. FOTO Mohd Adam Arinin
Nazri Abu Bakar


Melaka: Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) sedia membuat rombakan terhadap pasukan itu bagi memastikan kembali pada tahap terbaik dan kekal di pentas Liga Super 2022.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Saiful Mat Sapri berkata, jika terdapat peruntukan tambahan daripada pengurusan tertinggi beberapa pelan bakal dilakukan termasuk menggugurkan pemain yang tidak menepati prestasi yang diharapkan selain membawa masuk muka baharu.

Katanya, antaranya dengan melepaskan beberapa pemain pertahanan dan serangan yang tidak memberi banyak impak kepada persembahan dan reputasi yang diharapkan.

"Ianya termasuk dalam kalangan pemain import yang gagal membuktikan kewibawaan masing-masing selepas mengharungi 10 perlawanan awal setakat ini.

"Saya yakin ianya akan dilakukan sebelum jendela perpindahan kedua ditutup kerana penilaian teliti perlu dilakukan. Apapun semuanya tunggu dan lihat selepas perlawanan berdepan PJ City di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput Ahad ini," katanya.

Dalam masa sama dia agak kecewa dengan kehadiran peminat yang masih kurang memberangsangkan walaupun kebenaran pasukan penyokong ke stadium secara bersyarat dalam kancah Liga Malaysia di umumkan awal bulan lalu.

Saiful berkata, walaupun pihaknya sudah melakukan pelbagai alternatif termasuk menyediakan hadiah cabutan bertuah untuk menarik kehadiran penyokong namun prestasi hambar menerusi kekalahan tiga kali di gelanggang sendiri jelas menggugat perancangan terbabit.

Baginya, kekurangan penyokong juga berdasarkan prestasi pasukan sepanjang musim ini yang jelas isyarat jelas buat MU untuk kembali ke sasaran sebenar.

Sehubungan itu, jendela perpindahan kedua antara usaha pengurusan terbabit memantapkan kembali pasukan dan menarik semula sokongan padu penyokong berdasarkan sumber kewangan.

Semalam Legenda bolasepak Malaysia dan Melaka Ramli Junit meminta pengurusan pasukan terbabit segera menilai barisan pemain import yang tidak memberi impak terhadap prestasi pasukan itu selepas jendela perpindahan kedua di buka ketika ini.

Ramli berkata, berdasarkan perkembangan semasa keupayaan mereka dilihat tidak banyak menyumbang kepada prestasi pasukan yang memerlukan sumbangan mantap daripada barisan import.

Menurutnya, dia yang mengikuti perkembangan pasukan berkenaan hanya berpuas hati dengan persembahan Sony Norde yang bergerak licik merencana peluang dan melakukan penyudah.

Ramli berkata, import lain perlu dinilai segera sama ada mereka boleh memberi sesuatu atau kekal statik dengan apa dipersembahkan pada saingan awal yang amat meleset daripada jangkaan sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 5:57 PM