Agensi

London: Everton dijangka menandatangani Philippe Coutinho dengan harga £35 juta (RM200 juta) daripada Barcelona, menurut laporan hari ini.

Pemain berusia 28 tahun itu gagal mencipta impak berkesan sejak berpindah dari Liverpool ke Barcelona dengan harga £148 juta (RM846 juta) pada 2018.

Selepas menghabiskan musim lalu secara pinjaman di Bayern Munich, Coutinho dibawa balik ke Barca oleh Ronald Koeman dan kerap diturunkan oleh pengendali dari Belanda itu sebelum mengalami kecederaan lutut pada Disember lalu.

Pemain antarabangsa Brazil itu menjalani pembedahan awal bulan ini dan terpaksa melupakan baki saingan musim.

Barcelona kini terdesak mengurangkan impak kewangan pada musim panas ini dan sedia melepaskan Coutinho. Menurut The Sun, Everton kini semakin hampir mencapai persetujuan mendapatkan Coutinho dengan harga £35 juta.

Laporan mendakwa Everton sangat yakin mendapatkan Coutinho sehinggakan mereka telah pun mencari rumah untuk pemain itu pulang ke Merseyside.

Coutinho menghabiskan enam musim di Liverpool sebelum menyertai Barca.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 3:11 PM