COUTINHO bakal kembali beraksi di Liga Perdana. FOTO Agensi
COUTINHO bakal kembali beraksi di Liga Perdana. FOTO Agensi
Agensi

CHELSEA semakin hampir mendapatkan khidmat pemain Barcelona yang tersisih, Philippe Coutinho pada musim panas, menurut laporan di Sepanyol.

Coutinho, 27, yang gagal menepati status selepas meninggalkan Barca pada 2018 kemudiannya dipinjamkan ke Bayern Munich pada musim panas lalu dalam usaha meningkatkan keyakinan dan memulihkan kembali prestasinya.

Perancang Brazil itu menyerlah di Bundesliga apabila menjaringkan lapan gol dan enam bantuan jaringan sebelum krisis koronavirus menyebabkan bola sepak Jerman terhenti tetapi Bayern tidak berminat menukar pinjaman itu kepada perpindahan kekal dengan yuran €120 juta ((RM572.28 juta).

Ini bermakna masa depan Coutinho tidak menentu tetapi spekulasi mengaitkan bekas pemain tengah Liverpool itu kembali ke Liga Perdana dengan Arsenal, Manchester United, Tottenham dan Chelsea antara pasukan pilihan.

Akhbar Catalan, Sport mendakwa Blues menghulurkan ‘talian hayat’ paling realistik dan Coutinho sekarang makin hampir menuju ke Stamford Bridge.

Ketua jurulatih Chelsea, Frank Lampard menganggap Coutinho pemain berkaliber yang mampu menjulang kelab itu sehebat Liverpool dan Manchester City.

Laporan turut menyebut Barcelona sedia menjual Coutinho dengan harga €90 juta (RM429.21 juta) walaupun membelanjakan €160 juta (RM763.04 juta) bagi mendapatkan pemain antarabangsa Brazil itu dua tahun lalu.

Chelsea yakin dapat memperolehi Coutinho dengan harga malah lebih rendah berdasarkan hasrat Barcelona yang terdesak meraih dana bagi mendapatkan Lautaro Martinez.

Bagaimanapun, Quique Setien menegaskan Coutinho masih kekal aset berharga Barcelona tetapi tidak menolak kemungkinan menjual pemain tengah itu jika mendapat tawaran sesuai.

“Saya fikir Coutinho pemain hebat, saya sukakan dia,” kata pengurus Barca itu minggu lalu.

“Dia masih pemain Barcelona. Anda perlu membayar klausa atau tunai kepada Barca. Saya fikir dia boleh berada di sini pada permulaan musim depan. Saya perlu bercakap dengan dia.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 10:34 AM