LINGARD cemerlang bersama West Ham. FOTO AFP
LINGARD cemerlang bersama West Ham. FOTO AFP
AFP

London: Jesse Lingard kembali mencapai kemuncak prestasi seperti ditunjukkan ketika England mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018 tetapi dia mengakui sebelum dipinjamkan ke West Ham dia hampir bersara daripada bola sepak.

Prestasi penyerang berusia 28 tahun itu merosot selepas Piala Dunia dengan dia kehilangan tempat dalam skuad utama Manchester United.

Menurut Lingard, mentalnya terjejas teruk sehingga ke satu tahap dia mahu meninggalkan terus bola sepak atau melupakan seketika sukan itu.

"Saya dengan mudah boleh bersara ketika perintah berkurung (kali pertama pada Mac tahun lalu susulan pandemik koronavirus),'' katanya.

"Saya mungkin seperti 'nah..saya tak mahu lakukannya lagi, saya bersara, saya putus asa. Tetapi semangat juang yang membawa saya kembali dalam hidup ini.

"Bukan gantung but selamanya tetapi berehat seketika. Saya dengan gembira berada di bangku simpanan tetapi itu bukan saya.''

Prestasi Lingard berubah sejak pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer membenarkan dia menyertai West Ham.

Dia kembali mendapat tempat dalam skuad England dengan ketajaman sentuhan penyudahnya menjadi faktor utama Hammers muncul pencabar utama meraih slot Liga Juara-Juara musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 9:57 PM