AKSI Lingard menjaringkan gol pertama West Ham. FOTO AFP
AKSI Lingard menjaringkan gol pertama West Ham. FOTO AFP
AFP

London: Jesse Lingard menjadi nadi kemenangan West Ham ketika menang 3-2 di Wolves sekaligus melonjak ke tangga keempat Liga Perdana awal pagi tadi manakala harapan Everton menduduki kelompok empat teratas terjejas selepas seri 1-1 menentang Crystal Palace.

Prestasi Lingard yang semakin memuncak sejak menyertai Hammers secara pinjaman dari Manchester United pada Januari lalu turut menarik minat pengurus England, Gareth Southgate untuk memperkasakan cabaran menghadapi Euro 2020.

Pemain tengah itu membuat larian kencang dari kawasan sendiri sebelum meledak jaringan keenamnya dalam lapan penampilan bersama West Ham pada awal permainan.

Lingard kemudiannya mencipta kepada dua lagi jaringan pasukannya membolehkan pelawat mendahului 3-0 dalam tempoh 38 minit.

Dia menguis bola kepada Arthur Masuaku di penjuru padang dan kemudiannya menghantar bola kepada Pablo Fornals yang merembat untuk menggandakan jaringan Hammers.

Jaringan ketiga terhasil selepas Lingard melepasi kekangan lawan dan melorongkan bola kepada Jarrod Bowen yang menewaskan penjaga gol, Rui Patricio.

BATSHUAYI (kiri) meledak gol penyamaan Palace. FOTO AFP
BATSHUAYI (kiri) meledak gol penyamaan Palace. FOTO AFP

"Dia bermain sangat cemerlang," kata pengurus West Ham, David Moyes. "Malam ini dia seperti pemain berkelas dunia."

West Ham kini satu mata di depan Chelsea dalam perebutan sengit memburu tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

Tottenham dan Liverpool hanya tiga mata di belakang skuad Moyes dengan berbaki lapan perlawanan.

Everton terlepas peluang merapatkan jurang dengan kelompok empat teratas selepas jaringan Michy Batshuayi pada minit ke-86 membolehkan Eagles mencuri satu mata di Goodison Park.

The Toffees gagal menambah jaringan walaupun memiliki beberapa peluang pada kedua-dua babak selepas James Rodriguez meletakkan mereka dahulu di depan.

"Puncanya ialah kami tidak dapat membunuh perlawanan walaupun mempunyai peluang," kata pengurus Everton, Carlo Ancelotti.

"Apabila anda sepatutnya menang, anda perlu menang. Kami perlu lebih fokus supaya ia tidak berulang.''

Palace kekal di tangga ke-12 tetapi tampak selamat untuk semusim lagi selepas mereka berada 11 mata di atas zon penyingkiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 8:19 AM