BOWEN tidak sabar untuk membantu pasukan England. FOTO Reuters
BOWEN tidak sabar untuk membantu pasukan England. FOTO Reuters
AFP

London: Tonggak West Ham, Jarrod Bowen berkata, dia dalam prestasi terbaik sekarang ini dan bersedia untuk memenuhi impian zaman kanak-kanak bermain bersama England di Wembley.

Prestasi terpuji pemain berusia 26 tahun itu membolehkannya memperoleh kontrak baru selama tujuh tahun dan dipanggil semula ke skuad Gareth Southgate bagi saingan antarabangsa.

Bowen menjaringkan gol kemenangan ketika The Hammers memenangi Liga Konferensi menentang Fiorentina Jun lalu dan menjaringkan lima gol dalam sembilan penampilan musim ini.

"Cara saya memulakan musim ini mungkin yang terbaik pernah saya pamerkan dalam karier," kata Bowen.

"Saya pernah meraih pengalaman beraksi di peringkat Eropah. Ia agak berbeza ketika saya datang (sebelum ini).

"Saya seorang ayah sekarang, jadi saya berada di tempat yang berbeza, anda akan berasa lebih matang. Saya berasa berada di tempat yang sangat baik dan berterima kasih kerana dapat kembali ke sini."

Empat penampilan Bowen di England setakat ini hadir semasa kem antarabangsa terburuk di bawah kendalian Southgate.

Dia beraksi dalam empat perlawanan Liga Negara-Negara tanpa kemenangan pada Jun 2022, termasuk kekalahan di tempat sendiri dan di tempat lawan menentang Hungary.

Bowen juga disenaraikan pada September tahun lalu tetapi tidak bermain dan terlepas aksi Piala Dunia 2022 di Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 8:54 AM