AFP

London: Manchester United, Liverpool, Arsenal dan Tottenham menyertai Manchester City dengan menarik diri daripada Liga Super Eropah (ESL), ketika perancangan kontroversi itu gagal selepas menerima desakan serius.

Chelsea dilaporkan bersedia mengikut langkah berkenaan dan meninggalkan hanya enam pasukan iaitu Real Madrid, Barcelona, Atletico Madrid, AC Milan, Inter Milan dan Juventus bagi projek berkenaan.

Reaksi terhadap perancangan itu semakin menarik perhatian dengan ahli politik dan pihak berkuasa bola sepak mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang berdepan kelab digelar "dirty dozen" yang diberitahu mereka bakal berdepan penggantungan daripada kejohanan domestik dan benua.

"Manchester United tidak akan menyertai Liga Super Eropah," kata juara Inggeris 20 kali itu dalam satu kenyataan.

"Kami mendengar secara berhati-hati reaksi daripada penyokong kami, kerajaan UK dan pemegang taruh yang lain.

"Kami kekal komited untuk bekerjasama dengan pihak lain dalam komuniti bola sepak bagi mencari penyelesaian jangka panjang daripada cabaran diterima dalam permainan ini."

United turut mengumumkan Naib Pengerusi Eksekutif, Ed Woodward akan meninggalkan tugasnya di kelab itu pada penghujung tahun ini.

Dalam satu kenyataan, Liverpool berkata: "Kelab Bolasepak Liverpool mengesahkan bahawa pembabitan kami dalam cadangan membentuk Liga Super Eropah tidak akan diteruskan.

"Dalam beberapa hari ini, kelab menerima kehadiran pelbagai pihak berkepentingan, secara dalaman dan luaran dan kami mahu mengucapkan terima kasih kerana sumbangan berharga mereka."

Arsenal turut memohon maaf kepada penyokong mereka kerana tersalah tafsir ketika menandatangani cadangan berkenaan.

PENYOKONG melakukan demonstrasi di luar Stamford Bridge menentang cadangan penganjuran ESL. FOTO AFP
PENYOKONG melakukan demonstrasi di luar Stamford Bridge menentang cadangan penganjuran ESL. FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 7:54 AM