PENYOKONG melakukan demonstrasi di luar Stamford Bridge menentang cadangan penganjuran ESL. FOTO AFP
PENYOKONG melakukan demonstrasi di luar Stamford Bridge menentang cadangan penganjuran ESL. FOTO AFP
AFP

Rom: Cadangan penganjuran Liga Super Eropah (ESL) boleh dianggap sudah berakhir tanpa enam kelab Inggeris yang menarik diri, kata sumber terdekat Presiden Juventus, Andrea Agnelli, hari ini.

Menjawab pertanyaan AFP adakah Liga Super terhenti tanpa kelab Inggeris, sumber itu mengesahkannya, sehari selepas Manchester City, Manchester United, Liverpool, Chelsea, Tottenham dan Arsenal menarik diri.

Atletico Madrid, Inter Milan dan AC Milan ketiga-tiganya mengikut jejak langkah kelab Inggeris dengan menarik diri sekali gus menyaksikan tinggal Real Madrid, Barcelona dan Juventus yang masih terbabit dengan perancangan itu.

Dalam satu temuramah sebelum penarikan diri enam kelab Inggeris itu, Agnelli menegaskan projek itu akan diteruskan.

"Antara kami semua sudah ada perjanjian. Kami akan teruskan. Projek ini mempunyai peluang 100 peratus untuk berjaya," kata Agnelli kepada akhbar La Repubblica.

"Bola sepak bukan lagi permainan tetapi sebahagian sektor industri dan ia memerlukan kestabilan."


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 8:20 PM