SUAREZ bakal memainkan peranan utama Atletico Madrid. FOTO AFP
SUAREZ bakal memainkan peranan utama Atletico Madrid. FOTO AFP
AFP

London: Bos Chelsea Thomas Tuchel mendedahkan beliau adalah peminat Luis Suarez sehingga berusaha untuk mengikat pemain Uruguay itu untuk Paris Saint-Germain sebelum dia berpindah dari Barcelona ke Atletico Madrid pada September.

Dan jurulatih Atletico, Diego Simeone semalam mengakui Suarez akan menjadi tonggak utama barisannya untuk menewaskan Chelsea dalam aksi kelompok 16 terbaik Liga Juara-Juara awal pagi esok.

Tujuh perlawanan sepanjang beliau memegang tugas pengurus Chelsea, Tuchel masih belum tewas dengan kelab dari London itu berkedudukan tempat kelima Liga Perdana dan mara ke suku akhir Piala FA.

Bagaimanapun pengendali dari Jerman itu akan berdepan cabaran terbesar menentang Atletico yang memiliki pengalaman luas pada saingan kalah mati Liga Juara-Juara di bawah pimpinan Simeone.

"Sudah pasti ia adalah ujian terbesar - kesukaran, mental dan fizikal. Mereka adalah kelab yang berpengalaman pada peringkat ini, sangat berpengalaman dan seorang jurulatih berpengalaman yang sukar ditandingi.

"Ia jelas apa yang anda akan dapat bila berdepan Atletico. Anda akan berdepan perlawanan yang sukar dan banyak pasukan sudah melaluinya."

Corak permainan Atletico semakin menyerlah musim ini terutama apabila menggabungkan tiga pemain Suarez, Joao Felix and Marcos Llorente di bahagian serangan.

Suarez kini antara penjaring terbanyak La Liga bersama-sama bekas rakan pasukan Lionel Messi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 9:10 AM