Cristiano Ronaldo dikaitkan dengan perpindahan ke Atletico Madrid. FOTO AFP
Cristiano Ronaldo dikaitkan dengan perpindahan ke Atletico Madrid. FOTO AFP
Agensi

London: Cristiano Ronaldo dikaitkan dengan kepulangan mengejut ke LaLiga - bukan bersama Real Madrid yang menjadi lokasi dia membina legasi sebagai pemain terhebat dalam sejarah kelab itu - sebaliknya musuh setempat, Atletico.

Media Sepanyol, Diario AS menyiarkan berita sensasi menyatakan pemain itu mungkin berada di Atletico Madrid dan sudah pasti melukakan hati penyokong Los Blancos.

Ronaldo, 37, mengejutkan bola sepak dunia apabila dia meminta untuk meninggalkan Manchester United yang dibimbing Erik ten Hag pada musim panas ini, walaupun tidak mendapat perhatian kelab yang diingininya.

Berdasarkan laporan, wakil Ronaldo sudah berhubung dengan pihak Diego Simeone dan menyarankan pengendali Argentina itu mendapatkan pemain berkenaan.

Jika laporan Diario benar, ia akan menjadi perpindahan utama pada musim panas ini, tetapi permusuhan lama antara Ronaldo dan kelab itu bermakna wujud kesangsian terhadap berita itu.

Selepas menjaringkan 311 gol dalam 292 perlawanan untuk Real dan dua kali mengecewakan Atletico di dua final Liga Juara-Juara Eropah dalam tempoh tiga tahun, Ronaldo menjadi musuh nombor satu kepada penyokong Atletico dan perpindahan itu mungkin mencetuskan masalah dengan penyokong.

Tetapi, Ronaldo mampu mencapai impian bermain di Liga Juara-Juara Eropah sekali lagi dan pada ketika kelab seperti Chelsea dan Bayern Munich kurang berminat terhadap legenda Portugal itu, Atletico mungkin memberikan peluang kepadanya.

Selain Atletico, Ronaldo turut dikaitkan dengan kepulangan mengejut kepada kelabnya ketika remaja, Sporting Lisbon dan ia bakal menjadi kepulangan sensasi kepada pemenang lima kali Ballon d'Or itu.

Ronaldo menggunakan Instagram untuk menafikan khabar angin kepulangan ke Sporting, selepas foto disiarkan Sport TV Portugal mendakwa keretanya dilihat di stadium kelab itu.

Tetapi, Ronaldo terus menyatakan dakwaan itu adalah palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 9:32 AM