Bintang PSG, Kylian Mbappe (kiri) dalam salah satu aksi Ligue 1. FOTO AFP
Bintang PSG, Kylian Mbappe (kiri) dalam salah satu aksi Ligue 1. FOTO AFP
Agensi

Paris: Penyerang Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe dilaporkan akan meninggalkan juara Perancis itu apabila kontraknya tamat pada 2022.

Pemain yang memenangi Piala Dunia bersama Perancis sebelum ini mengesahkan mengadakan beberapa perbincangan baharu bersama PSG namun gagal mencapai persetujuan.

Namun setakat ini dia masih belum membuat keputusan mengenai nasib masa depannya.

Mbappe berterusan dikaitkan dengan perpindahan membabitkan perbelanjaan besar sama ada Real madrid atau Liverpool, dan perpindahan ke salah satu lagi kelab utama di Eropah bakal menjadi realiti dalam tempoh 18 bulan dari sekarang.

Menurut Diario Sport, wakil Mbappe sering mengadakan berbincang dengan PSG mengenai masa depan penyerang itu dan dia akan menghormati kontraknya sehingga ia berakhir pada musim panas 2022.

Bagaimanapun, jika Real Madrid atau Liverpool membuat tawaran bagi mendapatkan khidmat bintang Perancis berkenaan sebelum kontraknya tamat, PSG dilaporkan mungkin menuntut rekod yuran perpindahan tertinggi dunia bagi bekas tonggak Monaco itu.

Mbappe, yang dilaporkan cukup rapat dengan pengurus Real, Zinedine Zidane, adalah penjaring terbanyak Ligue 1 musim ini dengan 16 gol daripada 21 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 2:29 PM