MBAPPE kini sedang bercuti dan masa depannya bersama PSG masih samar. FOTO AFP
MBAPPE kini sedang bercuti dan masa depannya bersama PSG masih samar. FOTO AFP
Agensi

Paris: Kylian Mbappe dilaporkan meminta pakej bernilai £206 juta (RM1.22 bilion) untuk menyertai mana-mana kelab pada musim panas ini.

Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) dan Perancis itu ketika ini sedang bercuti selepas musim yang memberangsangkan bersama kelab dan negara.

Mbappe meledak 41 gol dalam 43 perlawanan untuk PSG dan 13 gol untuk Les Bleus sepanjang 12 bulan lalu - termasuk memenangi Kasut Emas di Piala Dunia Qatar 2022.

Bagaimanapun masa depannya bersama kelab Paris itu masih samar selepas dia mengesahkan hasratnya untuk meninggalkan kelab sebaik kontraknya tamat pada Jun 2024.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan sebelum ini, penyerang itu berkata kegagalan PSG di pentas Eropah dan pemergian juara Piala Dunia, Lionel Messi, mempengaruhi keputusannya untuk tidak memperbaharui kontrak.

Dia dikaitkan dengan beberapa kelab termasuk Real Madrid - yang dikecewakan Mbappe pada saat akhir dengan memperbaharui kontrak di PSG pada musim panas lalu.

Bintang Perancis itu yang diwakili ibunya sendiri, Fayza Lamari - mahukan pakej bernilai RM1.22 bilion untuk mana-mana kelab menandatanganinya.

Real Madrid dilaporkan tidak akan meneruskan hasrat mereka untuk menandatangani Mbappe yang dianggap sebagai 'hamba wang'.

Sebaliknya mereka akan menunggu sehingga kontraknya tamat dan mendapatkannya sebagai ejen bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 1:00 PM